Gamel tahu apa yang menanti berdepan JDT


  • Podium
  • Selasa, 17 Mei 2022

ANTARA aksi yang dipamerkan Sri Pahang dalam Liga Super.

KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel sedar tugas yang cukup berat berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam usaha untuk memburu tiga mata bagi aksi Liga Super pada Rabu.

Berdepan dengan lawan yang nyata mempunyai barisan serangan berkualiti, Gamel mengakui perlawanan ini akan lebih sukar yang mana JDT pastinya enggan memberi laluan mudah untuk mereka terus meraih kemenangan.

Justeru, beliau mahu pemain lebih kreatif dalam mengembangkan lagi corak permainan untuk memastikan mereka mampu mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.

Apa yang pasti, Sri Pahang nyata ingin kembali bangkit daripada kekalahan lalu kepada Sarawak United FC meskipun sedar JDT mempunyai kelebihan apatah lagi beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

IMG_0037-1568x1046

Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel akui sukar berdepan Sabah FC.

“Mereka mempunyai serangan yang berbisa manakala kami pula masih belum dapat sebarang ‘clean sheet’ setakat ini, jadi ia jelas membuktikan tugas berat yang kami akan hadapi nanti.

“Kebanyakan daripada pemain masih belum berada di tahap yang terbaik, jadi memang kita kena cuba untuk mengembangkan lagi corak perlawanan seleps ini.

“Apa yang penting, mereka perlu menikmati sepanjang perlawanan dengan lebih baik tidak kira apa pun yang berlaku”, jelasnya.

Kali terakhir Sri Pahang menang ke atas JDT dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2014 dan Gamel enggan melihat rekod itu sebagai tekanan memandangkan skuadnya kali ini lebih menggunakan kudrat pemain muda.

Bercakap mengenai pemain, Gamel mengesahkan terdapat beberapa pemain berdepan kecederaan dan akan melakukan sedikit perubahan dalam perlawanan esok.

“Tidak perlu untuk melihat rekod itu sekarang sebab saya datang ke sini dengan sebahagian pemain utama tidak dapat bermain dan lebih ramai pemain muda.

“Jadi pentingnya untuk mereka memberikan 200 peratus di atas padang bagi memberi tentangan sengit.

“Akan ada beberapa perubahan sebab saya sekarang ada tiga kecederaan daripada perlawanan lepas, tapi saya tidak mahu berkongsi lebih mengenai perkara itu”, tambahnya.

Hanya satu sahaja perlawanan akan berlangsung pada malam esok membabitkan JDT dan Sri Pahang FC manakala tiga lagi perlawanan berlangsung pada malam ini.

Ia melibatkan pertembungan antara Sarawak United FC menentang Kuala Lumpur City FC, Penang FC berdepan Sabah FC manakala Kedah Darul Aman FC menerima kunjungan Negeri Sembilan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

podium, bola sepak, sri pahang, jdt, liga super