Harimau Muda tunjukkan mentaliti pemenang sejati — Hamidin


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

Sebahagian pemain skuad B-23 kebangsaan mengikuti pertemuan secara maya dengan Hamidin sebelum perlawanan menentang Kemboja petang ini. — Facebook

PADA Isnin, satu sesi pertemuan secara maya telah berlangsung dengan membabitkan para pemain skuad bawah 23 kebangsaan (B-23) bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B pasukan negara dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

Menurut kenyataan laman rasmi Facebook FAM, Hamidin memberi kata-kata semangat buat para pemain muda negara untuk kembali bangkit dengan lebih baik pada perlawanan menentang Kemboja pada petang ini.

Beliau juga menuntut agar skuad kebangsaan mampu mempamerkan fokus dan disiplin dengan lebih baik berbanding aksi lalu sekali gus mencatat kemenangan bagi mengatasi pasukan yang dikendalikan oleh Keisuke Honda.

“Mentaliti sang juara perlu sentiasa bersedia. Tidak kira siapa lawan kita nanti, kita harus tunjukkan karakter sebenar Malaysia di mana kita tidak pernah takut untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Lupakan segera momen ketika menentang Singapura, tutup dan buka buku baharu. Paling mustahak pemain-pemain harus bangkit kembali dengan menunjukkan mentaliti pemenang sejati,” kata Hamidin.

Pertemuan secara maya itu turut dimuat naik di Facebook FAM.

Sebelum ini, Hamidin juga antara individu yang kuat menyokong pasukan kendalian Brad Maloney setelah turut membuat pertemuan secara maya sebelum aksi menentang Singapura bagi memberi galakan buat para pemain dan kejurulatihan.

Malaysia berpeluang untuk meraih gelaran juara Kumpulan B sekiranya mereka menewaskan Kemboja dan bakal memperbaiki rekod saingan Sukan SEA lalu di Filipina apabila skuad kebangsaan hanya terkandas di peringkat kumpulan.

Pada aksi terdahulu, Malaysia terikat seri bersama Singapura setelah lawan berjaya mempamerkan aksi mantap untuk menyaingi corak permainan skuad kendalian Maloney.

Dalam edisi Sukan SEA kali ini, skuad muda kebangsaan mencatat keputusan memberangsangkan dengan tidak merekodkan sebarang kekalahan selepas tiga perlawanan termasuk mengejutkan Thailand pada perlawanan pembukaan.

Luqman Hakim Shamsudin menjadi antara pemain yang bakal diberi tumpuan setelah berjaya meledak tiga gol setakat ini daripada tiga perlawanan dihadapi beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram