DI sebalik provokasi yang cuba diletuskan barisan pemain Singapura, majoriti peminat tempatan tetap tidak berpuas hati dengan persembahan skuad Harimau Muda ketika kedua-dua pasukan sekadar terikat 2-2 dalam aksi Kumpulan B, temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam sebentar tadi.
Meskipun meraih tujuh mata selepas tiga perlawanan setakat ini, anak-anak buah Brad Maloney dilihat seakan-akan menempah laluan sukar meskipun berpeluang cerah menjadi semifinalis gara-gara mensia-siakan peluang meraih tiga mata, sekali gus berkemungkinan berdepan tuan rumah, Vietnam jika mara ke separuh akhir.
Seorang pengguna Facebook, Kasawari Kawasaki berkata, pemain muda negara masih sukar mengenali gaya permainan (gameplay) sendiri sedangkan ada masanya cuma perlu bermain mudah.
"Ada yang main fancy, tunjuk skil sedangkan perlu main simple. Bila patut main short pass dia sibuk main long ball, dribble pun tak lepas dan shoot pun slow.
"Senang cerita, belum cukup 'power' nak main level Asia," tulisnya.
Antara komen peminat yang kecewa dengan persembahan Harimau Muda sebentar tadi
Seorang lagi pengguna Facebook, Insan Terluka berkata, aksi longlai Harimau Muda tidak seronok untuk disaksikan kerana terdapat seorang dua pemain yang seakan-akan gila nama apabila membuat percubaan sendiri ke arah pintu gol lawan sedangkan ada rakan lain yang lebih berpeluang cerah menjaringkan gol.
Selain itu, persembahan kapten Harimau Muda, Mukhairi Ajmal dan tonggak muda Terengganu, Nik Akif Syahiran Nik Mat juga dipertikaikan peminat.
Cuma pada masa sama, provokasi pemain Singapura juga sudah dijangka berdasarkan perseteruan kedua-dua negara dalam arena bola sepak sejak sekian lama.
"No.8 Singapura nak main bola ke MuayThai?," soal Muhamad Asy Raf.
Selepas ini, Harimau Muda akan berdepan Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Isnin sementara Singapura yang sudah melengkapkan aksi kumpulan dengan lima mata hanya boleh mengharapkan Thailand keciciran mata selepas ini bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram