KDA FC maafkan individu fitnah isu kelewatan gaji pemain


  • Podium
  • Ahad, 15 Mei 2022

KDA FC memaafkan Muhammad Haikal Afiq susulan dakwaannya berkaitan isu kelewatan pembayaran gaji pemain.

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap seorang individu yang sebelum ini didakwa menyebarkan berita berkaitan dengan isu kelewatan pembayaran gaji pasukan itu selama empat bulan.

KDA FC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima maklumbalas dari individu yang mengaku penyebar berita tidak benar tersebut.

"Selepas beberapa rundingan telah mengakui kesalahan beliau serta merekodkan permohonan maaf di atas penyebaran berita tidak benar tersebut. Individu tersebut juga diwakili Tetuan Fahmi Zhafri Ashraf & Co., bagi pihak anakguam beliau, Muhammad Haikal Afiq.

"Selepas beberapa pertimbangan, KDA FC bersetuju menerima permohonan maaf Muhammad Haikal Afiq dan kes dianggap selesai selepas beliau mengaku punca penyebaran berita tidak benar dan tanpa asas terhadap KDA FC sehingga menjadi tajuk berita dan kecaman di banyak ruangan media sosial dan portal berita sukan," katanya.

Dalam pada itu, KDA FC turut menasihatkan semua pengendali media sosial dan portal berita yang melaporkan berita tidak benar tersebut untuk turut memadamkan hantaran, artikel atau berita tidak tepat ini yang menjurus kepada gambaran buruk kepada KDA FC dan jika masih ada, kandungan tersebut adalah tertakluk kepada tindakan undang-undang.

Tambahnya, semua pemilik akaun media sosial dan portal berita sukan dinasihatkan agar mengamalkan penulisan lebih berhemah dan beretika dengan memastikan kesahihan sumber maklumat diterima sebelum dijadikan komen peribadi, tajuk berita atau rumusan penulisan yang menjurus kepada imej negatif kepada KDA FC.

Terdahulu Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang bertanggungjawab menular kononnya kelab terbabit menghadapi masalah tunggakan gaji sehingga menjejaskan prestasi pemain.

"Saya mendapat maklumat ada pihak mendakwa kononnya KDA FC terumbang ambing prestasi pemainnya kebelakangan ini disebabkan tidak dibayar gaji.

"KDA FC akan menyediakan notis saman kepada individu terbabit. Tunggu surat saman tersebut," katanya baru-baru ini.

Berikut adalah surat permohonan maaf yang dikeluarkan Muhammad Haikal Afiq.

Kenyataan Permohonan Maaf dari Muhammad Haikal Afiq

"Saya, Muhammad Haikal Afiq, dengan suci hati dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak mengakui bahawa kenyataan saya di aplikasi Whatsapp yang menjadi punca tersebar berita tidak benar berkaitan dengan isu kelewatan pembayaran gaji pemain KDA FC selama 4 bulan adalah fakta yang tidak tepat sama sekali dan tiada sebarang asas terhadap pernyataan tersebut.

"Saya akui bahawa ketelanjuran saya membuat hantaran Whatsapp tersebut telah secara langsung telah mencemarkan nama baik kelab KDA FC dan telah memalitkan nama baik YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah selaku Presiden Kedah FA.

"Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan tertinggi KDA FC yang sudi untuk menerima permohonan maaf saya ini dan mengendalikan isu ini dengan etika profesional yang tinggi.

"Saya dengan ini ingin memohon maaf kepada kelab KDA FC dan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor atas ketelanjuran saya mengeluarkan kenyataan yang tiada sebarang asas kebenaran dan dibuat atas sebab emosi dan andaian persendirian semata-mata.

"Saya menasihatkan semua pihak diluar sana agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan dan memastikan sumber dan fakta yang betul sebelum menyebarkan kepada umum.

"Saya berharap permohonan maaf ini diterima baik semua dan memohon agar perkara ini dapat diselesaikan tanpa perlu dipanjangkan ke Mahkamah." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram