KECOH diperkatakan sehari dua ini tentang tempoh masa kecederaan atau injury time dalam perlawanan bola sepak antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berlanjutan sehingga 10 minit.
Isu ini berbangkit apabila penyerang JDT, Fernando Forestieri menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan iaitu minit 101 untuk memberi kemenangan 1-0 kepada JDT, sekali gus mencalarkan rekod tanpa kalah NSFC dan merampas kedudukan pertama Liga Super.
Pertambahan masa itu menjadi pertikaian antara kedua-dua penyokong sehingga ada yang menuduh pengadil perlawanan telah 'dibeli' dan tidak kurang juga yang mendakwa penjaga gol NSFC sengaja melewatkan permainan.
Paling mengejutkan, ada penyokong yang mendakwa bahawa pertambahan masa itu merupakan yang paling lama dalam sejarah bola sepak dunia.
Sehubungan itu, Majoriti mengambil pendekatan melakukan semakan dan mendapati bukan perlawanan itu yang melibatkan pertambahan masa kecederaan paling lama.
Sebelum itu, mari kita ketahui definisi sebenar masa kecederaan dalam dunia bola sepak.
Dalam situasi kebanyakan, sesebuah pasukan perlu bertahan antara dua hingga enam minit dalam tempoh masa tambahan. Sebahagian besar perlawanan profesional menyaksikan masa tambahan (juga dikenali sebagai masa kecederaan atau masa berhenti) jarang melebihi tempoh berkenaan.
Terdapat beberapa variasi serantau tetapi secara purata, perlawanan biasa hanya akan menyaksikan sekitar empat hingga enam minit tambahan pada kedua-dua tempoh masa permainan.
Bagaimanapun terdapat perlawanan dengan masa tambahan melebihi tempoh itu seperti yang disenaraikan di bawah.
Ambil perhatian bahawa masa kecederaan bukanlah perkara sama dengan masa tambahan. Masa tambahan (extra time) digunakan dalam kejohanan kalah mati bagi mencari pemenang selepas pasukan menyamakan kedudukan usai masa biasa.
Sebaliknya, masa kecederaan, pemberhentian atau masa tambahan (additional time) diberikan pada setiap separuh masa permainan (termasuk setiap separuh masa tambahan jika berkenaan) untuk menampung sebarang penghentian yang berkaitan dengan kecederaan, pembaziran masa dan satu atau dua kejadian lain yang dinyatakan sebagaimana digariskan oleh Peraturan 7 undang-undang bola sepak.
Berikut adalah lima rekod masa kecederaan paling lama direkodkan.
Masa kecederaan 42 minit dalam perlawanan Liga Perdana Semenanjung Gaza. — Agensi
1) Shabab Khanyounis lwn Ittihad Khanyounis (2019) – 42 minit
Kedua-dua pasukan ini berhadapan antara satu sama lain di Liga Perdana Semenanjung Gaza. Ia sememangnya bukan perlawanan paling berprofil tinggi untuk dipaparkan tetapi dengan 42 minit masa kecederaan, ia adalah tempoh paling lama pernah direkodkan dalam sejarah bola sepak.
Perlawanan pada tahun 2019 itu menyaksikan jumlah masa henti yang begitu panjang ekoran insiden lampu limpah tidak diaktifkan. Lebih malang, mereka tidak dapat mencari juruteknik yang menjaganya. Hampir separuh masa penuh diperlukan untuk mereka memikirkan penyelesaian, bermakna pemain bermain bagi tiga minit masa biasa sebelum tambahan 42 minit diberikan.
Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 0-0. Mungkin lebih baik jika mereka bermain dengan lampu terpadam.
Masa kecederaan 28 minit dalam perlawanan antara Burton dan Bournemouth pada 2019. — Agensi
2) Burton lwn Bournemouth (2019) – 28 minit
Pasukan Liga Satu yang menumbangkan kelab Liga Perdana walaupun ia hanya dalam pusingan ketiga Piala Liga sememangnya menarik perhatian. Ia begitu diingati kerana tempoh 28 minit masa henti yang ditambah pada penghujung separuh masa kedua.
Sebab penambahan masa yang keterlaluan itu adalah kerana bukan satu atau dua, tetapi tiga kejadian berasingan lampu limpah terpadam. Selepas penangguhan ketiga, pengadil memberi isyarat untuk meninggalkan permainan semasa memasuki minit ke-76, namun dia mengubah keputusan selaras dengan panduan Liga Bola Sepak.
Peraturan Liga Bola Sepak menyatakan bahawa perlawanan hanya harus ditinggalkan jika jumlah pemberhentian melebihi 30 minit. Jumlah sebenar pemberhentian adalah tidak relevan selagi mereka belum melepasi ambang 30 minit masa tidak bermain.
Para pemain kemudiannya kembali ke padang, dengan Burton mendahului 2-0 pada masa itu. The Brewers berjaya mengekalkan kelebihan mereka walaupun sedikit selepas Chris Mepham menerjah tiang gol ketika hanya berbaki satu minit perlawanan.
3) Bristol City lwn Brentford (2000) – 23 minit
Separuh masa pertama yang penuh aksi di Ashton Gate dengan pelbagai insiden antaranya patah kaki, bahu terkehel dan gegaran otak serius.
Dalam kes bahu terkehel, walaupun ia biasanya tidak menyebabkan pemberhentian begitu lama, penyerang Brentford, Lloyd Owusu, pengsan kerana kesakitan dan memerlukan ambulans.
Memandangkan hanya dua daripada tiga insiden berlaku pada masa biasa, pengadil pada mulanya memberi isyarat 13 minit masa tambahan. Namun, disebabkan terdapat satu lagi pemberhentian panjang pada masa kecederaan, separuh masa itu diteruskan selama 23 minit.
Dua gol dijaringkan ketika masa kecederaan separuh masa pertama iaitu penalti daripada Lee Peacock dari Bristol City dan satu gol daripada Martin Rowlands dari Brentford. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
4) Shimizu S-Pulse lwn Vissel Kobe (2018) – 18 minit
Adegan luar biasa di dalam Stadium IAI Nihondaira kerana kecederaan pada minit-minit akhir yang menyaksikan 18 minit masa kecederaan diberikan. Ramai menjangkakan jaringan Dyanfres Douglas pada minit ke-87, sebagai aksi utama perlawanan tetapi betapa silapnya mereka.
Memasuki masa tambahan, tepat minit ke-14, penjaga gol Yuji Rokutan melakukan tendangan sudut dan menanduk masuk gawang gol untuk menyamakan kedudukan. Masa kecederaan pada separuh masa kedua sering menyaksikan penjaga gol menjaringkan gol, kerana mereka mendapat kebenaran untuk bergerak ke hadapan, dan inilah yang berlaku dalam perlawanan berkenaan.
Gol penyamaan tandukan Rokutan memperoleh satu mata untuk Shimizu, menyebabkan pemain seperti Andres Iniesta dan Lukas Podolski dari Vissel Kobe sukar untuk mempercayai kejadian itu. Tidak cukup dengan itu, pasukan pelawat dikurangkan kepada sembilan pemain pada saat-saat akhir apabila pemain gantian Wellington dilayangkan kad kuning kedua dalam tempoh tiga minit.
Western Sydney Wanderers gagal menyamakan kedudukan meskipun tambahan masa 17 minit diberikan. — Agensi
5) Western Sydney Wanderers lwn Guangzhou Evergrande (2015) – 17 minit
Perlawanan Liga Juara-Juara Asia, yang dihoskan di New South Wales, Australia berlangsung lebih lama daripada yang dirancang kerana insiden antara penjaga gol Guangzhou, Zeng Cheng dan salah seorang pemain pertahanannya sendiri.
Penggantinya, yang masuk pada minit ke-82, berakhir dengan penampilan agak sibuk ketika Wanderers mencari laluan kembali ke dalam permainan. Pada minit ke-95, Romeo Castelan membalas satu gol, menjadikan kedudukan 3-2 berpihak kepada pasukan pelawat.
Tiga gol skuad Guangzhou, yang semuanya disumbangkan oleh Ricardo Goulart, terbukti cukup dan memberi kemenangan kepada pasukan China itu dalam Liga Juara-Juara AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram