PERLAWANAN saingan Liga Super antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), pada Rabu menyaksikan kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan dengan keputusan 1-0.
Skuad kendalian Benjamin Mora Mendivil itu berjaya menghasilkan gol melalui sepakan Fernando Martin Forestieri pada 10 minit masa tambahan.
Tambahan masa itu dilihat tidak digemari oleh pengendali NSFC, K. Devan yang menganggap tempoh itu sebagai peluang terbaik buat JDT menjaringkan gol.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh beranggapan sudah pasti ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk menggantikan 10 minit masa yang terbuang dari masa permainan sebenar.
Subkhiddin berkata, situasi pemberian masa tambahan sehingga 10 minit bukanlah perkara yang luar biasa.
Beliau berpandangan bahawa, sebagai proses pembelajaran dan pencerahan, tindakan pemain yang sengaja melambat-lambatkan permulaan semula permainan itu perlu dilihat dan dikaji balik.
"Dari situ kita akan dapat memahami kenapa sekurang-kurangnya 10 minit penggantian masa perlu diberikan dalam perlawanan tersebut," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkata, situasi pemberian masa tambahan sehingga 10 minit bukanlah perkara yang luar biasa.
"Ini kerana ia adalah termaktub di dalam undang-undang permainan dan perlu dilaksanakan oleh setiap pengadil," katanya.
Sementara itu, berhubung tindakan kapten NSFC, Zaquan Adha yang dilihat meludah dan membaling bip kepada pengadil perlawanan, Subkhiddin merasakan perbuatan itu tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi dia adalah pemain senior.
"Melalui rakaman video jelas dapat dilihat perbuatan biadap yang dilakukan oleh pemain tersebut adalah amat keterlaluan dan memalukan.
"Sedangkan pada usia dan pengalaman beliau yang luas dalam arena bola sepak Malaysia dan antarabangsa, sepatutnya beliau menjadi antara contoh terbaik untuk diteladani," katanya.
Tangkap layar aksi Zaquan Adha (dalam bulatan) yang dilihat membaling bid ketika melakukan protes, dalam perlawanan menentang JDT pada malam Rabu.
Subkhiddin turut mempersoalkan adakah tindakan dan hukuman yang telah diberikan kepada pemain yang berkelakuan ganas sebelum ini tidak cukup untuk menginsafkan pemain.
"Ada (kes) sebelumnya yang pernah menggegarkan arena bola sepak kita, tapi apakah hukuman sedia ada belum cukup menggerunkan atau menginsafkan pemain kita?," ujarnya.
Usai perlawanan itu, seorang pemain NSFC, Matheus Alves telah dilayangkan kad merah kerana melakukan protes kasar terhadap pengadil perlawanan.
Zaquan Adha bagaimanapun tidak menerima nasib sama sekali gus menyebabkan ramai penyokong JDT meminta Malaysian Football League (MFL) menyiasat insiden tersebut dan mengenakan tindakan wajar kepada kapten NSFC itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram