PENYOKONG Perak FC masih perlu bersabar sehingga akhir bulan ini untuk melihat kelibat pemain baharu bagi 'menghidupkan semula' pasukan itu yang sebelum ini dibelenggu isu tunggakan gaji dan peralihan pemilikan.
Skuad Seladang mendapat tonik baharu apabila syarikat gergasi telekomunikasi, XOX Berhad sah menjadi pemilik baharu kelab berusia 100 tahun itu pada 29 April lalu.
Dengan peralihan itu, Perak FC kini dalam landasan mahu memulihkan reputasi sebagai salah satu skuad yang digeruni di kancah Liga Malaysia.
Walaupun misi di Liga Perdana tampak lebih berliku akibat pemotongan mata, pasukan pimpinan Yusri Che Lah ini mempunyai platform yang lebih baik untuk menyerlah menerusi saingan Piala FA.
Yusri Che Lah bersama barisan pemain barisan Perak FC sewaktu sesi latihan.
Perak FC akan melayani kunjungan Penang FC di Stadium Ipoh pada perlawanan pusingan kedua Piala FA, Sabtu.
Namun status beberapa pemain baharu yang masih misteri di Perak FC menjadi tanda tanya penyokong kelab The Bos Gaurus itu.
Pada jendela perpindahan awal musim ini, Perak FC menghantar senarai 20 pemain kepada Malaysian Football League (MFL) bagi saingan musim ini.
Senarai itu tidak termasuk tiga nama bekas pemain kebangsaan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya.
Ketiga-tiga pemain itu tidak dapat didaftarkan kerana Perak FC dikenakan sekatan pendaftaran daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu pada awal musim lalu.
Seperti dimaklumkan pengurusan Perak FC sebelum ini, sekalipun tidak dapat bermain pada awal musim ini, mereka sudah ada kontrak pasukan.
Nama mereka dijangka didaftarkan pada jendela perpindahan kedua pada Mei.
Namun spekulasi mengatakan tiga pemain tersebut dan seorang lagi pemain baharu Perak FC, Hafiz Ramdan akan dapat beraksi menentang Penang FC pada Sabtu memandangan isu tunggakan gaji sudah selesai.
"Indra Putra, Wan Zack, Hafiz Ramdan, Shamin, Zamir selamat mungkin boleh main sebab last settle gaji 13hb...game 14hb..," demikian maklumat yang tersebar dalam kalangan penyokong.
Namun ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, keempat-empat pemain baharu Perak FC itu masih belum boleh beraksi kerana mereka perlu didaftarkan pada jendela perpindahan kedua pada 28 Mei ini.
"Sekatan (perpindahan) belum ditarik balik dan hanya boleh daftar pada jendela perpindahan kedua," katanya ringkas kepada Majoriti.
Sebelum itu, pegawai MFL yang dihubungi berkata, pendaftaran itu boleh dibuat dengan syarat Perak FC kena selesaikan tunggakan gaji termasuk dalam kes FIFA.
"Kalau tak selesaikan (gaji), mereka masih tak boleh daftar," kata pegawai tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram