'Saya dah kerja keras, ramai yang tak tahu' — Luqman Hakim


  • Podium
  • Khamis, 12 Mei 2022

Luqman Hakim meraikan kejayaan selepas menewaskan Laos 3-1 di temasya Sukan SEA ke-31 di Nam Dinh, pada malam Rabu. — Facebook

PENYERANG muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya menamatkan kemarau jaringan lebih dua tahun di pentas antarabangsa selepas meledak dua gol untuk membantu Malaysia menewaskan Laos 3-1 di temasya Sukan SEA ke-31 di Nam Dinh, pada malam Rabu.

Dua gol disumbangkan penyerang KV Kortrijk itu membolehkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan meraih kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B acara bola sepak lelaki temasya sukan dwitahunan itu, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia layak ke separuh akhir.

Kali terakhir pemain kelahiran Kota Bharu itu mencetak nama sebagai penjaring di pentas antarabangsa adalah pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Phnom Penh, Kemboja pada November 2019.

Pada saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu, Luqman Hakim mengumpul lima gol selepas meledak masing-masing satu dan empat gol ketika menentang pasukan tuan rumah dan Brunei sebelum kemarau golnya bermula.

Bercakap kepada Bernama selepas aksi menentang Laos di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Luqman Hakim dengan tenang memberitahu, beliau berasa puas dapat kembali berada dalam senarai penjaring sebelum tiba-tiba sebak dan hampir menitiskan air mata.

"Pertama sekali, Alhamdulillah syukur sangat dengan hasil ini atas usaha saya sendiri, gembira memang gembira, sedih pun sedih juga sebab pada 2022 baru saya dapat jaringkan gol untuk Malaysia.

"Saya bersyukur sangat atas sokongan diberikan jurulatih, rakan-rakan dan terutama keluarga serta peminat Malaysia yang menunggu-nunggu jaringan daripada saya. Saya amat teruja sekali dengan diri saya dan hasil usaha kerja keras saya selama ini.

280547448_696427498097156_2315163236901282560_n

Sebahagian aksi Luqman Hakim ketika pertemuan menentang Laos pada malam Rabu. — Facebook

"Perasaan sedih itu memang ada sebab saya bekerja keras (beliau mula sebak) untuk pasukan Malaysia dan untuk saya sendiri. Alhamdulillah, Alhamdulillah,” katanya yang kemudian ditenangkan pegawai pasukan di situ.

Beliau berkata, apa yang dilalui sepanjang kerja kerasnya untuk membuktikan kemampuan sebagai penggempur pasukan negara tidak diketahui ramai, selain menyifatkan pencapaian itu adalah permulaan untuk terus menghasilkan jaringan buat skuad kebangsaan.

"Saya belum lagi berpuas hati dengan permainan saya dalam aksi lawan Laos dan Thailand (Sabtu lepas). Pasukan bukan mahu menang dengan Laos dan Thailand saja, pasukan hendak menang semua perlawanan dalam Sukan SEA, kita hendak meraih pingat emas,” katanya.

Malaysia yang dibimbing Ketua Jurulatih Brad Maloney berada di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA apabila kini menerajui kedudukan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Thailand dan Laos pada dua aksi pertama.

Anak buah Maloney akan meneruskan cabaran dengan menentang Singapura Sabtu ini sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Kemboja pada 16 Mei. Kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram