WALAUPUN tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0, pengendal Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan tetap memberi tabik hormat ke atas persembahan yang dipamerkan anak buahnya.
K. Devan berkata begitu kerana terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa NSFC akan menggunakan taktik 'parkir bas' ketika menentang JDT.
"Kita main macam biasa, semua perlawanan kita main macam ini. Sebelum perlawanan saya tengok ada beberapa laporan yang mengatakan saya akan parkir bas. Jadi kita tak parkir bas hari ini, kita macam seperti biasa, ujar jurulatih berusia 61 tahun itu dalam sidang media selepas perlawanan.
"Kita tahu JDT adalah pasukan yang bagus, mereka berada pada tahap berbeza. Tapi saya rasa pemain kami pada hari ini telah menunjukkan watak sebenar dalam bermain bola sepak, jadi saya tabik hormat pemain-pemain saya dengan persembahan mereka. Saya bangga di atas prestasi setiap pemain NSFC," katanya.
K. Devan (tiga dari kiri) sewaktu sesi latihan bersama skuad Hobin Jang.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Rabu, Fernando Martin Forestiere muncul wira JDT menerusi jaringan cantik dari jarak kira-kira 30 meter dari luar kotak penalti dalam masa tambahan 10 minit pada penghujung perlawanan.
Jaringan tunggal itu sekali gus meletakkan JDT sebagai penghulu liga manakala NSFC pula terpaksa berada di tempat kedua dengan perbezaan satu mata.
Dalam pada itu, ketika ditanya apa yang membuatkan beliau cenderung untuk bermain secara terbuka menentang JDT, Devan percaya ia adalah cara yang betul apabila berdepan dengan pasukan yang lebih kuat.
"Kita perlu bermain secara proaktif. Berdepan pasukan yang hebat, kita tak boleh menggunakan pendekatan reaktif, bertindak balas dengan gaya permainan mereka, itu sangat sukar. Tetapi kita perlu proaktif dengan taktikal yang diterapkan, barulah kita mampu mencabar mereka.
"Jadi sebab itu kita juga mampu melancarkan serangan, tidaklah bertahan sepanjang masa, malah saya beranggapan kami bertahan dengan lebih baik berbanding pasukan lawan. Kami juga mencipta peluang, cuma hari ini tiada penyudah. Tahniah untuk JDT atas kemenangan," katanya.
Aksi pemain JDT yang cuba mengeluarkan bola selepas diasak pemain NSFC.
Mengenai peluang Negeri Sembilan untuk menamatkan saingan Liga Super di kelompok atas pada musim ini, K. Devan tidak mahu pencapaian di peringkat awal ini menjadi kayu pengukur kepada keupayaan sebenar pasukannya.
“Seperti mana yang kita tahu, untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat, kita perlukan hingga tiga ke empat tahun. Bagi saya ini tahun yang kedua dan kali pertama kita beraksi di Liga Super selepas beberapa tahun kita ketinggalan bermain di Liga Premier.
“Pada saya pencapaian pada hari ini adalah perkara yang kita tak sangka, tapi kedudukan dalam carta liga pun sesuatu yang agak mengejutkan. Menang, seri atau kalah, yang penting adalah keyakinan dalam kalangan pemain dan juga semangat berpasukan.
“Tapi saya rasa kita masih belum mampu sampai di tahap pasukan-pasukan yang berada di kedudukan empat terbaik, masih terlalu awal lagi. Apa yang penting kita tunjukkan prestasi yang terbaik di Liga Super untuk tahun ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram