Remaja hilang di Cheras ditemui di Pokok Sena


  • 112
  • Rabu, 11 Mei 2022

Muhammad Al Muizz dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar menunaikan solat Subuh di masjid pada Ahad. — Sinar Harian

REMAJA lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Cheras di Kuala Lumpur Ahad lalu, ditemui dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Muhammad Al Muizz Almawardi, 16, ditemui di sekitar daerah Pokok Sena di Kedah pada Rabu, hasil maklumat daripada orang awam.

"Bertindak atas maklumat orang awam, pada 11 Mei kira-kira pukul 9 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah pergi ke Pokok Sena, Kedah dan telah menjumpai remaja tersebut dalam keadaan baik di rumah kawannya.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, remaja tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui sebab remaja itu boleh berada di tempat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Media pada Selasa melaporkan pihak polis sedang mengesan remaja terbabit yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar menunaikan solat Subuh di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya di Bandar Tasik Selatan di Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.

Sementara itu, ibunya, Nur Aliana Alias, 38, mengucapkan terima kasih kepada pihak media dan orang ramai kerana mendoakan keselamatan anaknya sehingga remaja berkenaan berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

"Syukur dia sudah ditemui, saya berterima kasih kepada pihak media yang membuat hebahan serta anggota polis yang banyak membantu. Tak terbalas jasa kalian semua," katanya.

Bagaimanapun menurut Nur Aliana, dia diminta untuk tidak berkongsi sebarang maklumat terperinci berkenaan kejadian tersebut sementara menanti pihak polis menyelesaikan siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram