SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara dinasihatkan supaya tidak terbuai dengan kejayaan menewaskan Thailand dalam Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021, sebaliknya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya menjelang perlawanan kedua menentang Laos, pada Rabu.
Gesaan itu disuarakan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah, yang bimbang keasyikan anak buah Brad Maloney meraikan kemenangan ke atas skuad muda War Elephants akan menyebabkan mereka berpotensi terlepas pandang ketika menentang skuad kendalian Michael Weiss nanti.
Malah, jelasnya lagi, Laos yang hadir pada tema kali ini bukan lagi pasukan kerdil yang harus dipandang serong selepas melakukan beberapa kejutan dengan baru-baru ini mengikat satu lagi pasukan pilihan, Singapura 2-2 dalam aksi kumpulan pada Sabtu.
“Ini bukan masa terbaik untuk kami meraikan kemenangan ke atas Thailand kerana kami masih mempunyai tiga lagi perlawanan untuk kami hadapi untuk layak ke separuh akhir.
“Sebab saya bimbang jika pemain terlalu teruja dengan kemenangan ke atas Thailand, dia mungkin memberi kesan apabila berdepan Laos nanti. Kita perlu ingat kita gagal menewaskan mereka dalam dua perlawanan sebelum ini
“Bagi saya tidak mustahil sebenarnya untuk Malaysia membunuh Laos. Apa yang penting mereka perlu fokus dan ikut sahaja arahan yang akan diberikan jurulatih untuk perlawanan itu,” katanya pada Isnin.
Untuk rekod, pada pertemuan menentang Laos sebelum ini, Harimau Muda gagal mencatat sebarang kemenangan dalam dua pertemuan menentang Laos apabila tewas dua aksi peringkat kumpulan kejohanan AFF B-23 di Kemboja pada Februari lalu.
Pada masa sama, Azraai turut menuntut agar penyudah Harimau Muda lebih tajam selepas dilihat gagal menyempurnakan beberapa peluang menentang Thailand.
Azraai berkata, jika bahagian serangan berjaya menterjemah setiap aksi final dalam setiap perlawanan, ia akan mencerahkan peluang skuad muda negara mara ke separuh akhir.
“Saya melihat skuad muda ini bermain dengan baik ketika menewaskan Thailand baru-baru ini.
“Mereka berjaya mencipta beberapa peluang, tetapi gagal menyempurnakan dengan baik.
“Jadi, saya harap selepas ini barisan pemain dapat meningkatkan lagi prestasi mereka terutama ketika berada di depan gawang. Jika mereka dapat menyelesaikan masalah itu, saya rasa kami mempunyai peluang cerah untuk keluar daripada ranking kumpulan,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram