Selain peningkatan mendadak kenderaan Aidilfitri, KPDNHEP dedah dua lagi punca minyak RON95 kurang


  • Primer
  • Isnin, 09 Mei 2022

Setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan UGT masing-masing.

PENINGKATAN mendadak jumlah kenderaan pada musim perayaan dikenal pasti sebagai salah satu faktor berlakunya kekurangan bekalan petrol RON95, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, kelewatan kapal tangki yang membawa minyak untuk sampai di terminal di Bagan Luar, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang juga menyumbang kepada berlakunya isu tersebut, selain kapasiti tangki simpanan di stesen-stesen minyak tertentu tidak mampu untuk menampung permintaan pengguna.

"Bagi menangani segera isu ini, kementerian telah mengambil dua langkah penyelesaian jangka pendek iaitu mendapatkan kerjasama daripada Kementerian Pengangkutan untuk mempercepatkan proses pelepasan kapal-kapal minyak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, KPDNHEP melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan penyelewengan ke atas bekalan bahan api kenderaan terutamanya petrol RON95 tidak berlaku.

"Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, KPDNHEP telah mengambil tindakan awal dengan mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini," katanya.

Alexander berkata, semua stesen minyak di seluruh negara juga dibenar untuk menambah had kuantiti simpanan terutamanya bagi petrol RON95 bagi memastikan bekalan mencukupi pada musim perayaan ini.

"Berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), kadar had kuantiti ini ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyatakan had kuantiti simpanan yang sesuai bagi produk petroleum, diesel dan LPG," katanya.

Justeru, beliau berkata, setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing.

Media tempatan pada Sabtu melaporkan, ratusan kenderaan di pantai timur tersadai akibat stesen minyak kehabisan bekalan RON95. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram