HILANG fokus antara faktor utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tewas 2-3 kepada Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, keadaan lebih buruk apabila beberapa pemain sering mengulangi kesilapan mudah sehingga hilang bola sekali gus dimanfaatkan pelawat dengan jaringan.
"Banyak kesilapan mudah dilakukan dan mereka masih tidak belajar kesilapan yang dilakukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
"Apabila gol kedua Melaka, pemain mula 'down' (lemah), hilang tumpuan, hilang kawalan bola.
"Dalam bola sepak kita tahu kena beri tumpuan 90 minit perlawanan dan pemain hilang fokus. Saya kecewa perlawanan malam ini," katanya.
Pemain KDA FC meraikan gol yang dijaringkan dalam perlawanan menentang Melaka United pada Jumaat lalu.
Pada masa sama, Aidil Sharin turut memohon maaf kepada para penyokong dan peminat setia KDA FC kerana gagal memberikan persembahan dan keputusan diharapkan.
"Mereka (penyokong) jangkakan kami bangkit pada perlawanan ini dan dapat tiga mata tapi kami tidak dapat lakukan. Maaf buat peminat dan mungkin pihak pengurusan kena tengok sesuatu," katanya.
Kekalahan kepada Melaka memberikan tekanan berganda kepada Kedah yang sebelum ini tewas 0-4 kepada Sabah dan 1-4 kepada Selangor FC.
Sementara itu, Penolong Jurulatih Melaka United, Mohd Asri Ninggal memuji semangat juang para pemainnya yang berhempas pulas mahu mencipta kemenangan.
Katanya, pertukaran beberapa pemain di 20 minit terakhir memastikan pasukannya berjaya mendominasi permainan, seterusnya mengucar-ngacirkan pertahanan Kedah hingga menjaringkan gol.
"Saya tengok 20 minit akhir Kedah macam pancit, jadi saya buat pertukaran pemain hingga berhasil mengawal semula permainan.
"Apa yang penting dan terbukti, pemain telah mengikut taktikal diberikan dan mereka bermain bersunguh-sungguh hingga kita menang malam ini," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram