Bakar suar: JDT sebenarnya dah dapat notis, cuma FAM tak kecoh-kecoh


  • Podium
  • Khamis, 28 Apr 2022

Insiden pembakaran suar oleh penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 April lalu. — Facebook

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar memberitahu bahawa pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sebenarnya telah diberi notis berhubung tindakan penyokong mereka membakar flare (suar) selepas berakhir perlawanan menentang Terengganu FC pada 10 April lalu.

Ia sekali gus menepis tanggapan segelintir penyokong bahawa badan induk itu tidak berani mengambil tindakan ke atas pasukan milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu, sebaliknya hanya berani menghukum pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Sebelum ini kecoh di media sosial mengenai Terengganu FC telah diberi notis oleh FAM kerana penyokong mereka membakar flare selepas perlawanan menentang Selangor FC pada Jumaat lalu, sehingga menyebabkan timbul pertikaian kenapa JDT tidak diberikan notis berhubung insiden sama.

“Notis itu sebenarnya amalan biasa apabila kita mendapat laporan daripada komisioner perlawanan berhubung insiden yang berlaku ketika perlawanan.

“Jadi bila ada laporan, pihak Jawatankuasa Tatatertib akan meminta pasukan menjawab dalam tempoh 14 hari berkenaan perkara itu. Jadi ia terpakai kepada semua pasukan termasuk JDT dan terbaharu Terengganu. Tak timbul isu FAM takut nak ambil tindakan atau pilih kasih, sebaliknya kita adil kepada semua pasukan.

“Tetapi kita tak pernah nak maklumkan kepada media sebab ini barulah proses awal sahaja. Keputusan akan dibuat Jawatankuasa Tatatertib yang bebas, jadi FAM tak boleh campur tangan dan kita akan umumkan bila dah ada keputusan.

“Macam itu juga dengan JDT, kita dah lama hantar notis sama tapi kita tak kecohkan. Notis Terengganu pun sama kita tak bagi tahu umum, tapi kena tengok siapa yang dedahkan surat itu. Kita kena tengok macam mana surat itu boleh diketahui penyokong.

“Jadi yang saya boleh sahkan, JDT dah jawab surat tunjuk sebab dan kesnya akan didengar esok (Khamis) manakala kes Terengganu pula minggu depan akan didengar,” katanya.

Antara hukuman yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan termasuklah denda puluhan ribu ringgit atau larangan kemasukan penonton ke stadium, atau kedua-duanya sekali.

JDT sendiri pernah dua kali dihukum kerana penyokong membakar flare, pertama pada 2013 didenda RM40,000 (termasuk kerana membuang resit ke dalam padang), manakala pada 2018 pula didenda RM15,000. — Arena Metro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram