Bakar suar di stadium, adakah JDT senasib TFC?


  • Podium
  • Khamis, 28 Apr 2022

Insiden pembakaran suar dipercayai oleh penyokong JDT ketika perlawanan Liga Super menentang TFC pada 10 April lalu.

KEJADIAN penyokong bola sepak menyalakan suar di dalam stadium menjadi perhatian ramai berikutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sememangnya sudah mengharamkan tindakan tersebut.

Dua insiden bakar suar telah berlaku yang mana insiden pertama membabitkan penyokong Johor Darul Takzim (JDT), Boys of Straits membakar suar selepas pasukan mereka menang menentang Terengganu FC (TFC).

Insiden kedua pula membabitkan Ultras Tranung yang membakar suar selepas perlawanan antara pasukan TFC menentang Selangor FC baru-baru ini.

Dikatakan bahawa pihak FAM telah menghantar surat kepada pihak TFC dengan mendakwa mereka telah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM akibat kelakuan tersebut.

Namun, timbul persoalan daripada penyokong bola sepak tanah air yang mengenai adakah pasukan JDT akan dikenakan tindakan sama susulan tiada khabar berita samada mereka sudah terima surat atau tidak seperti situasi pasukan TFC.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, tiada layanan double standard seperti yang didakwa sebaliknya nasib kedua-dua pasukan itu akan diketahui tidak lama lagi.

“Saya tidak dapat nak komen lanjut mengenai perkara ini kerana ia di bawah Jawatankuasa Tatatertib FAM. Surat telah dihantar kepada kedua-dua pasukan (TFC dan JDT) dan pada Jumaat ini satu Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM akan berlangsung bagi menentukan nasib JDT.

"Manakala untuk TFC pula, mesyuarat tatatertib akan berlangsung pada 5 Mei ini,” katanyaa.

Terdahulu, perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang mendakwa FAM memberi layanan pilih kasih apabila dilihat pantas mengambil tindakan terhadap pasukan TFC namun JDT hanya mampu berdiam diri. — Harimau Malaya

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram