SEIRING semangat toleransi antara umat beragama, sebilangan pengurus Gereja Katolik Materdei, Kota Madiun, Jawa Timur, Indonesia mengawal dan membantu jemaah masjid yang ingin menunaikan solat Tarawih.
Bukan kali pertama, malahan aktiviti itu mereka jalankan setiap tahun pada bulan Ramadan.
Sebilangan pentadbir gereja itu menjaga keselamatan jemaah Tarawih di Masjid Mujahidin seperti membantu mereka untuk melintas jalan.
Hal itu dilakukan bagi mencerminkan sikap toleransi antara masyarakat beragama terutamanya apabila lokasi gereja dan masjid hanya bersebelahan sahaja.
Tambahan pula, setiap kali ada majlis tertentu di gereja, masyarakat Islam setempat juga sentiasa melakukan perkara yang sama iaitu menjaga keselamatan di gereja Materdei.
Selain itu, lokasi masjid yang berada di persimpangan jalan yang mempunyai lalu lintas agak sesak memerlukan mereka untuk menjaga keselamatan jemaah bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Pemuda gereja itu juga gembira melakukan aktiviti sedemikian kerana mereka mendapat saudara dan sahabat baru dalam aktiviti rutin yang diadakan setiap Ramadan pada waktu solat Tarawih.
Aktiviti itu akan diteruskan sehingga sambutan Aidilfitri.
Sehubungan dengan itu, mereka berharap akan sentiasa menjaga keharmonian antara masyarakat beragama tanpa mengira perbezaan fahaman. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram