Salah buat hal


  • Podium
  • Sabtu, 23 Apr 2022

Salah mendahului senarai Kasut Emas EPL setakat ini. — AFP

BINTANG Liverpool, Mohamed Salah mengakui masih belum membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan itu susulan tiada kata putus tentang lanjutan kontraknya setakat ini.

Kontrak Salah bersama Liverpool akan tamat pada akhir musim depan dan gagal mencapai kata sepakat meskipun rundingan tentang perkara itu berjalan selama beberapa bulan.

Pemain kelahiran Mesir itu dilaporkan meminta gaji sebanyak 500,000 pound (RM2.8 juta) seminggu.

Sekiranya perjanjian kontrak baharu itu dimeterai, Salah akan menjadi pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menerima gaji paling tinggi.

Bercakap kepada majalah sukan FourFourTwo, Salah mendedahkan dia masih belum membuat sebarang keputusan untuk kekal bersama Liverpool.

"Saya mempunyai baki kontrak selama setahun. Saya fikir peminat tahu apa yang saya mahukan tetapi dalam kontrak, bukan tentang duit semata-mata.

"Jadi saya tidak tahu. Saya tidak dapat memberitahu anda perkara sebenar," katanya.

Salah mencipta impak besar bersama Liverpool sejak berhijrah dari kelab Itali, AS Roma pada 2017.

Dia menjaringkan 155 gol dalam 245 penampilan dalam semua kejohanan, membantu Liverpool memenangi trofi EPL buat kali pertama pada 2020 dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2019.

Salah juga mendahului senarai penjaring terbanyak EPL musim ini dengan 22 gol.

Salah (kanan) menjadi salah satu pemain terbaik Liverpool sejak berhijrah dari Roma pada 2017. — AFP

Tambah Salah, Liverpool merupakan kelab yang bermakna buat dirinya dan dia menikmati karier bola sepaknya bersama The Reds.

"Saya memberikan segala-galanya kepada kelab dan semua orang menjadi saksi.

"Saya mempunyai banyak kenangan yang sukar dipercayai di sini, memenangi trofi, rekod jaringan individu, trofi individu. Ia seperti sebuah keluarga di sini," ujarnya lagi.

Salah turut mendedahkan keputusan meninggalkan atmosfera Anfield yang unik dan sokongan tidak berbelah bahagi para penyokong adalah sukar apabila dia memutuskan untuk berhijrah ke kelab lain.

"Untuk bermain di dalam atmosfera itu dan melihat para penyokong sentiasa di belakang saya.

"Saya mempunyai sepanduk dalam stadium, dua atau tiga dan mereka sering menyanyikan lagu tentang saya. Ia akan menjadi kenangan yang menyedihkan," katanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mohamed Salah, Liverpool, UCL, EPL, Mesir, jaringan, kontrak