Diaibkan Liverpool, Harry Maguire terima ancaman bom


  • Sukan
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Harry Maguire menerima ancaman bom itu sehari selepas pasukannya tewas dengan Liverpool.

KAPTEN Manchester United, Harry Maguire berdepan detik cemas apabila menerima ancaman bom di kediamannya di Cheshire, England pada Rabu

Pemain pertahanan The Red Devils itu, yang tinggal bersama tunangnya dan dua anak kecil, menerima ancaman tersebut melalui e-mel.

Sementara itu, polis Cheshire mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa mereka menerima panggilan melaporkan terdapat ancaman bom di kawasan Wilmslow sehari selepas skuad kendalian Ralf Rangnick tersebut diaibkan 0-4 Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield.

"Tiada pemindahan berlaku, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga seekor anjing unit letupan polis dihantar ke lokasi untuk menjalankan pencarian di taman dan kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, jurucakap Maguire berkata, walaupun berdepan detik cemas, pemain itu akan berlatih seperti biasa untuk perlawanan akan datang.

Untuk rekod, Maguire menerima kritikan hebat berikutan persembahan mengecewakan untuk Manchester United dan England sejak kebelakangan ini.

Pemain berusia 29 tahun itu juga sebelum ini diejek segelintir penyokong England semasa The Three Lions pimpinan Gareth Southgate melakar kemenangan 3-0 ke atas Ivory Coast dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley bulan lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram