Bangkit sebelum menang, Syamsul respek semangat juang Kelantan United


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Pemain Kelantan United meraikan jaringan ketika berdepan Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Premier di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. — Facebook/Kelantan United FC

PENGENDALI Kelantan United, Syamsul Mohd Saad memuji persembahan The Green Deers ketika bangkit ketinggalan satu gol untuk mencatat kemenangan kedua dalam saingan Liga Premier selepas menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Malah menurut Syamsul, para pemain kelab pantai timur itu tidak langsung menjelmakan semangat berputus asa sebaliknya konsisten memburu kemenangan berharga sekali gus dapat menyuntik semangat bagi mengharungi perlawanan selepas ini.

"Syukur kita dapat mengutip tiga mata yang tentunya penting buat pasukan. Biarpun pada mulanya ketinggalan 0-1, mereka tidak patah semangat dan kembali memberi tentangan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, Projek FAM-MSN terlebih dulu mendahului menerusi Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-23, sebelum Green Deers bangkit dengan dua gol penyamaan menerusi Jacob Njoku pada minit ke-44' dan ke-80'.

Pada masa sama, Syamsul turut memuji corak permainan anak buah Hassan Sazali Mohd Waras yang turut mempamerkan persembahan bertenaga dalam menyaingi pasukan pelawat. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram