Kes Yasin tanam ganja... Soal profesor ini, apakah pemantauan dan penguatkuasaan negara kukuh?


  • Massa
  • Selasa, 05 Apr 2022

PADA Khamis lalu, Yasin Sulaiman yang didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja. 

BARU-BARU ini Pengerusi Kaukus Medical Cannabis, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memberi respon melalui media sosialnya kepada kenyataan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman yang didakwa kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja.

Menurut Syed Saddiq, pendiriannya konsisten sejak menjadi menteri untuk menggesa kebenaran penggunaan ganja dalam bidang perubatan mengikut fakta, data dan sains yang boleh dijadikan sumber bagi rawatan alternatif.

Namun isunya sekarang bukanlah mengenai pengunaan ganja untuk perubatan kerana ia bukanlah satu bentuk halangan untuk mengunakan ganja bagi proses perubatan dalam negara kita.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada November 2021 lalu di dalam Dewan Rakyat di Parlimen, akta sedia ada dalam negara kita tidak menghalang penggunaan ganja atau kanabis ini bagi tujuan perubatan, jika mematuhi beberapa peraturan yang telah ditetapkan.

Khairy berkata demikian dalam jawatan bertulis di Parlimen pada ketika itu bagi menjawab soalan ahli Parlimen Muar itu mengenai isu berkaitan dengan pengunaan ganja atau kanabis untuk tujuan perubatan.

Menurutnya, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 sedia ada dalam negara kita tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, menurut beliau produk yang mengandungi ganja perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bawah Akta Jualan Dadah.

Pengimport juga perlu mempunyai lesen dan permit import bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya.

ganja

KANABIS ataupun ganja adalah sejenis pokok yang mempunyai tiga spesies.

Penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 atau ahli farmasi berdaftar dengan lesen Jenis A kepada individu tertentu berdasarkan preskripsi yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Jika terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk menggunakan ganja bagi tujuan perubatan, mengambil kira kualiti, keselamatan dan keberkesanan, proses permohonan mendaftar produk boleh dikemukakan kepada DCA.

Produk itu akan dinilai dan didaftarkan bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia.

Segala kesimpulannya, tiada isu untuk mengunakan ganja sebagai bahan perubatan dalam negara kita sekiranya kita mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh peruntukkan undang–undang dalam negara kita.

Menurut pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, isu yang sepatutnya diberi perhatian adalah penanaman dan pengedaran kanabis atau ganja itu sendiri dalam negara kita.

Persoalan seperti adakah seseorang itu menjadikan kanabis atau ganja sebagai tanaman dalam negara kita sama ada untuk kegunaan persendirian ataupun untuk kegunaan industri.

"Jawapan mudahnya, ia tidak boleh dilakukan. Seseorang itu adalah dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya ia di dapati menanam atau mengusahakan pokok ganja ataupun kanabis (walaupun sepohon) dan boleh dihukum penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada 6 sebatan.

"Perlu diketahui, kanabis juga dikenali sebagai ganja. Kanabis adalah sejenis pokok yang mempunyai tiga spesies.

"Kanabis telah disenaraikan di dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaannya.

"Nama jalanan kanabis di kalangan penagih dadah adalah ganja, grass, sayur, tarek daun, indian hemp, barang weed, joints, sticks, hashish, dope, pot dan weed," katanya.

dr

PENSYARAH Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muzaffar Syah Mallow.

Menurut portal rasmi MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), gejala pengambilan dadah kanabis adalah seperti anak mata membesar, kurang penumpuan dan pertimbangan, ketagihan gula – gula, bertambah selera makan serta mudah ketawa tanpa sebab.

Malah, pengambilan kanabis juga boleh mengakibatkan peningkatan denyutan jantung, kehilangan daya ingatan jangka pendek, berasa cemas, kerosakan paru-paru dan boleh menyebabkan sakit jiwa jika digunakan secara berpanjangan.

Tambah Muzaffar Syah, kesan penyalahgunaan kanabis juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya, masalah sosial, kecederaan, pergaduhan serta kegiatan jenayah berat.

"Merujuk kepada definisi “Kanabis” atau “Ganja” seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952, Kanabis atau ganja bermaksud “Mana-mana bahagian tumbuhan genus kanabis (Ganja) yang didapati mengandungi resin tanpa mengira kuantitinya atau apa-apa nama yang diberikan terhadap tumbuhan berkenaan”.

"Tumbuhan kanabis atau ganja ini mengandungi lebih daripada 460 jenis bahan kimia yang dinamakan cannabinoid," jelasnya.

Di Malaysia, kanabis, kanabis resin, kanabis ekstrak dan kanabis tincture merupakan dadah berbahaya yang tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun yang tertakluk kepada Akta Racun 1952.

Sekiranya melibatkan produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia, ia juga merupakan dadah dan produk yang tertakluk kepada Akta Jualan Dadah 1952.

Akta-akta dan peraturan-peraturan yang memperuntukkan kawalan ke atas pengendalian kanabis adalah pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan.

"Perlu diketahui, di Malaysia, penanaman kanabis atau ganja ini adalah dilarang sama sekali. Larangan ini diperuntukkan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Secara ringkasnya, Seksyen 6B (1), Akta Dadah Berbahaya 1952 menyatakan kanabis atau ganja ini tidak boleh ditanam di Malaysia.

"Adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang menanam atau membenarkan penanaman kanabis atau ganja ini," tambahnya.

Bagaimanapun, Seksyen 6B (2) Akta yang sama memperuntukkan menteri kesihatan boleh memberi kebenaran kepada mana-mana pegawai awam untuk menanam kanabis atau ganja bagi tujuan sama ada penyelidikan, pembelajaran, eksperimen atau perubatan dengan tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam kebenaran tersebut.

Sehubungan itu, permohonan daripada orang awam dan mana-mana syarikat swasta atau syarikat persendirian untuk menanam kanabis atau ganja ini tidak akan dipertimbangkan.

Bagi kesalahan berkaitan penanaman kanabis atau ganja ini, hukuman yang diperuntukkan di bawah seksyen 6B (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang daripada 6 kali sebatan.

Persoalannya kini, adakah kita ingin membenarkan kanabis atau ganja ini ditanam atau diusaha sebagai satu bentuk industri bagi menjana pendapatan untuk rakyat kita dan kepada negara kita sendiri? Kita harus meneliti kesan daripada langkah yang ingin diambil terhadap perkara ini dengan teliti sebelum sebarang kata putus diambil terhadapnya.

Kita perlu memandang serius terhadap kesan pengunaan kanabis atau ganja ini pada diri individu terutamanya jika disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungajwab.

Malahan, katanya, adalah dibimbangi, penyalahgunaan terhadap kanabis atau ganja ini berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini sekiranya membenarkan ia diusahakan dan ditanam dalam negara kita secara berleluasa kelak.

Persoalan juga harus dikemukakan, adakah kita memiliki proses pemantauan dan penguatkuasaan yang benar-benar kuat bagi membendung sebarang jenis penyalahgunaan yang berlaku kelak terhadap perusahaan kanabis atau ganja ini? Sekiranya tidak, adalah baik kita kekalkan status quo ataupun keadaan seperti sekarang ini.

Peruntukan undang –undang sedia ada dalam negara juga adalah mencukupi bagi mengawalselia pengunaan kanabis atau ganja.

Kita tidak boleh membandingkan negara kita dengan negara lain yang telah mengambil langkah berlainan dengan negara kita terhadap isu tersebut kerana faktor-faktor yang ada dalam negara mereka dan keadaan masyarakat mereka yang amat berlainan dengan negara dan masyarakat Malaysia.

Sekiranya masih ingin mengubah kedudukan sedia ada dalam negara kita mengenai isu itu, keutamaan haruslah diberikan kepada aspek pemantauan, penguatkuasaan yang benar-benar berkesan serta perlindungan kepada orang ramai daripada risiko penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata terhadap pengunaan kanabis atau ganja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram