Klopp mengamuk, venue semifinal Piala FA ‘mengarut’


  • Podium
  • Sabtu, 02 Apr 2022

PENYOKONG kedua-dua pasukan dijangka akan berdepan kesukaran untuk menuju ke Stadium Wembley disebabkan kerja penyelenggaraan kereta api.

MENJELANG pertemuan antara Liverpool dan Manchester City pada 16 April depan, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp nampaknya berang dengan percaturan yang ditetapkan persatuan boleh sepak untuk separuh akhir Piala FA itu.

Klopp berkata, perancangan untuk perlawanan separuh akhir itu adalah idea yang paling tidak masuk akal pernah didengarnya sebelum ini.

"Saya tidak pasti apa sebenarnya yang dirancangkan untuk Piala FA kali ini. Perlawanan di Stadium Wembley adalah satu idea yang menyusahkan penyokong," katanya.

Terdahulu, terdapat kerja-kerja penyelenggaraan laluan kereta api ke Stadium Wembley yang menyaksikan beberapa stesen ditutup sementara ketika perlawanan antara kedua-dua pasukan itu.

Menurut Klopp, ada beberapa cadangan daripada pihak persatuan untuk menyediakan laluan bas ke Stadium Wembley tetapi itu hanya akan menyukarkan penyokong.

"Bayangkan kalau semua bas tersebut menggunakan laluan yang sama untuk ke stadium. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa selama empat jam akan menjadi 12 jam disebabkan kesesakan," katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar bagi kedua-dua pasukan itu telah menghantar surat kepada persatuan untuk meminta supaya perlawanan di Stadium Wembley diubah ke lokasi lain yang lebih memudahkan penyokong. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram