Bazar Ramadan: Kalau masak tak sedap jangan berniaga!


  • Massa
  • Sabtu, 02 Apr 2022

KUIH-muih merupakan antara makanan kegemaran para pengunjung bazar Ramadan.  — Facebook/Nurul huda

BULAN Ramadan yang mulia kini tiba lagi bermula Ahad. Selain menahan lapar dan dahaga, pastinya ramai orang ternanti-nanti untuk mencuba pelbagai menu berbuka puasa terutamanya juadah yang dijual di sekitar bazar Ramadan.

Walaupun ramai berasa teruja untuk mencuba pelbagai juadah yang dijual di bazar Ramadan, namun tidak dapat dinafikan ada yang berasa trauma dengan sikap segelintir peniaga setiap kali Ramadan menjelma.

Hasil semakan Majoriti mendapati, terdapat beberapa luahan rasa kecewa yang diekspresikan oleh warganet terhadap peniaga bazar Ramadan yang tidak jujur terutamanya ada yang selamba menjual masakan yang kurang enak.

Capture

TANGKAP layar luahan kekecewaan pembeli terhadap sikap sesetengah peniaga bazar Ramadan.

Pengguna Twitter, Jill Misai berkata, jika seseorang peniaga itu kurang arif dalam memasak, lebih baik tidak usah berniaga di bazar Ramadan kerana ia hanya mengecewakan pelanggan yang bersungguh-sungguh untuk merasainya.

"Puasa dah dekat ni. Bukan nak menghina, cuma nak bagitahu. Kalau masak tak sedap janganlah berniaga di bazar Ramadan. Berniagalah baju raya atau mercun saja. Kesian orang yang puasa rasa tertipu.

"Standardkan resipi. Janganlah hari pertama guna sekilo santan, hari kedua guna setengah kilo santan sebab nak jimat," katanya.

Tidak kurang juga yang mengadu segelintir peniaga yang tidak meletakkan harga di khemah jualan dan harga juadah mereka terlalu mahal untuk hasil rasa yang mengecewakan.

"Lepas itu janganlah jual harga yang melampaui batas. Tidak tercapau dek akal harganya. Patutlah tidak letak harga di poster. Rupanya harga pergi haji balik hari," luah satu lagi pengguna Twitter, dirtydust_.

"Selalu berlaku. Tidak letak tanda harga tiba-tiba harga lagi mahal dari kedai lain padahal jenis makanan sama. Lepas itu rasa menghampakan aduhai. Apa yang susah sangat nak letak tanda harga. Nak kena tunggu pelanggan tanya harga baru nak jawab. Lepas itu, pelanggan pula rasa segan kalau tidak beli sebab sudah tanya harga," balas fiqsunn.

Dalam pada itu, pengguna Facebook, Elon Miee pula memberi amaran kepada bakal peniaga bazar Ramadan mengenai beberapa perkara yang pembeli tidak ingin berlaku ketika membeli juadah.

"Kepada bakal peniaga bazar Ramadan, kalau kau ada rancangan nak masak tak sedap, panaskan lauk dua-tiga hari, air paip terus letak kordial, jual makanan basi, karipap inti oksigen, letak harga yahudi (mahal) dan semua makanan nak letak cheese.

"Tidak payah meniaga, diulangi tidak payah berniaga," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram