Arwah disifat pelapis Luqman Hakim


  • Podium
  • Sabtu, 26 Mac 2022

MOHAMMAD Saiful Ezuddin (tengah) disifatkan memiliki potensi besar. — Ihsan NFDP

BERITA pemergian pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Mohammad Saiful Ezuddin Mustafa yang disahkan mati lemas baru-baru ini, meninggalkan impak besar kepada bola sepak negara.

Allahyarham dilaporkan hilang selepas mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Ketil, Baling, Kedah pada petang Rabu.

Mangsa dikatakan sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19 hingga 27 Mac ini.

Mayatnya ditemukan pihak berkuasa di sebuah lokasi sejauh hampir sembilan kilometer dari tempat kejadian selepas hilang selama 28 jam.

Jenazah Mohammad Saiful Ezuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Teluk Sungai Durian, Baling.

Menurut laman Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam satu ciapan di Twitter pada Jumaat, pemergian Mohammad Saiful Ezuddin meruapkan satu kehilangan besar buat pembangunan bola sepak.

"Dia disifatkan mempunyai bakat seperti Luqman Hakim, graduan AMD yang kini bersama kelab Belgium, KV Kotrijk mengikut penilaian panel teknikal NFDP.

"Dia berkebolehan bermain di pelbagai posisi bagi pasukan AMD Bawah 14 Tahun (B-14) dan seorang yang mempunyai budi pekerti baik serta sentiasa menjaga solatnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram