SEORANG pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di sungai berhampiran rumahnya di Baling, Kedah.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Batu 48 Bongor petang Rabu.
AMD dalam satu hantaran Facebook pada Rabu mengesahkan perkara itu dan meminta orang ramai berdoa supaya mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat.
"Dukacita dimaklumkan bahawa seorang pelatih AMD Bawah 14 tahun, Muhammad Saiful Ezzudin Bin Mustafa telah hilang ketika mandi di sungai berhampiran rumahnya di Baling, Kedah.
"Ketika ini beliau dan semua pelatih bawah 14 dan 15 tahun AMD sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman masing-masing bermula 19 hingga 27 Mac 2022," menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, operasi pencarian kini sedang giat dijalankan oleh pihak polis dan bomba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram