Keluarga bintang Penang, Sabah antara mangsa kebakaran di Tawau


  • Podium
  • Sabtu, 19 Mac 2022

RADZWIL (tengah) bersama Penang FA semasa perlawanan antara Penang Futsal dan Shah Alam City pada 5 Mac 2022.

KIRA-KIRA 700 buah rumah terjejas akibat kebakaran di perkampungan atas air di Jalan Apas Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di Tawau, Sabah pada Khamis.

Setakat ini, media melaporkan seramai 1,338 mangsa yang dikenal pasti terjejas dari kebakaran tersebut dan susulan itu, terdapat beberapa pertubuhan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu persendirian yang mengumpul dana untuk membantu mangsa

Antara mangsa yang memerlukan bantuan dari orang ramai ialah pemain pasukan Pulau Pinang FA, Radzwil Ahmad.

Radzwil merupakan pemain futsal yang dicungkil bakatnya menerusi Liga Super IPT iaitu sebuah liga bola sepak untuk institusi pengajian tertinggi di Malaysia dan pada tahun 2018, pemain itu dinobatkan sebanyak penjaring terbanyak.

Sebelum beraksi secara profesional bersama Sabah FA dan kini menyarung jersi Harimau Kumbang bagi Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL), pemain yang dikenali sebagai Petak itu pernah bermain untuk pasukan Kolej Komuniti Malaysia.

Menerusi satu hantaran dari pengguna Facebook, Gozal Pablo Tiger II, mengajak orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan ikhlas kepada Radzwil dan keluarga.

"Semoga Radzwil Ahmad sekeluarga kuat dan tabah hadapi dugaan darinya dan dipermudahkan segala urusan.

"Dia lebih dikenali dengan panggilan Tawau di pasukan #KolejKomuniti Malaysia dan sekarang lebih dikenali dengan panggilan Petak di pasukan #SabahFA dan terkini beraksi untuk pasukan futsal #PenangFA.

"Siapa yang kenal dia, ingin hulurkan bantuan & sumbangan ikhlas boleh salurkan ke akaun bank coach 'Adik' Penang, yang saya letak di ruang komen," katanya.

Pada Jumaat, menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, setakat ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagaimanapun proses pendaftaran mangsa yang terjejas sedang dilakukan.

Kata agensi itu, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menyediakan transit sementara untuk mangsa ketika ini iaitu di Rumah Adat Kampung Kurnia Jaya serta dewan dan masjid di Kampung Hidayat Batu 4, di Tawau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram