Harimau Muda berpeluang tebus maruah 'senior'


  • Podium
  • Isnin, 17 Jan 2022

MALAYSIA mampu menebus semula maruah pada Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Kemboja bulan depan. — Facebook FAM

KEKECEWAAN skuad Harimau Malaya di pentas Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember lalu masih menjadi 'luka' kepada para peminat bola sepak tempatan.

Tambah memeritkan, Harimau Malaya tewas dengan keputusan memalukan 1-4 kepada musuh serantau, Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B dan sekali gus menutup ruang untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Harapan bagaimanapun disandarkan kepada skuad bawah 23 tahun kebangsaan untuk menebus kembali maruah negara apabila diundi dalam Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2022 pada Februari kelak.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, skuad kendalian Brad Maloney itu setakat ini dilihat lebih teratur dan tersusun perancangannya.

"Pemain-pemain yang dijangka menjadi tonggak skuad itu sudah pastilah Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng, Aiman Ariff, Luqman Hakim, Harith Haiqal serta beberapa orang lagi pemain yang berada dalam skuad yang mencipta kejayaan layak ke Piala Asia B-23 di Ulanbataar, Mongolia pada Oktober lalu.

"Bagi saya, skuad untuk saingan B-23 AFF 2022 di Kemboja kelak adalah skuad yang mampu menyaingi juara bertahan, Indonesia.

"Saya juga berpendapat skuad ini tiada banyak karenah atau isu-isu berkaitan pemilihan pemain serta semangat berpasukan antara pemain dan juga jurulatih sangat tinggi selain boleh menjadi penyumbang kepada kekuatan pasukan," ujarnya kepada Majoriti.

Selain Indonesia, Malaysia juga turut diundi bersama Myanmar dan Laos dalam Kumpulan B.

Kejuaraan B-23 AFF 2022 dijadual berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo dan Stadium Prince di Phnom Penh, Kemboja.

Pada edisi sebelum ini yang dinamakan Piala LG B-22 2019, Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee manakala Maloney sebagai penolong jurulatih sekadar menamatkan saingan di kedudukan tempat ketiga Kumpulan B.

Selepas tewas 1-0 kepada Kemboja pada aksi pertama, skuad B-22 kebangsaan ketika itu berjaya mengikat Indonesia 2-2 pada perlawanan kedua, namun tewas 1-0 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Edisi 2019 itu dimenangi oleh Indonesia yang berjaya menewaskan Thailand 2-1 pada aksi final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram