Lagak aksi Muay Thai, pemain ditamat kontrak lepas perlawanan


  • Podium
  • Isnin, 14 Mac 2022

AITSARET (kiri) menumbuk muka lawannya.

SEORANG pemain bola sepak di Liga Thailand ditamatkan kontrak sejurus perlawanan tamat selepas menumbuk pemain lawan.

Kontrak pemain Bangkok FC, Aitsaret Noichaiboon ditamatkan selepas dia menumbuk Supasan Ruangsuphanimit dari pasukan North Bangkok University dalam perlawanan pada Ahad.

Kejadian itu menyebabkan Supasan menerima 24 jahitan dan Aitsaret dibuang padang selepas dilayangkan kad merah.

Dalam perlawanan itu, Bangkok FA menentang pasukan dari divisyen tiga Liga Thailand, yang menyaksikan North Bangkok University menang 3-0.

Insiden memalukan itu berlaku pada minit kecederaan separuh masa kedua selepas Sapusan menyepak keluar bola dengan niat dipercayai untuk membuang masa.

Walaupun dia sudah meminta maaf atas perbuatannya itu, Aitsaret meluru ke arahnya dan menumbuk muka lawannya itu.

Tidak sekadar dikenakan larangan bermain selepas dibuang padang, Aitsaret turut ditamatkan kontrak serta-merta.

Bangkok FC dalam satu kenyataan di Facebook turut mengesahkan tindakan yang diambil terhadap Aitsaret. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram