Pencerobohan nelayan luar ganggu hasil laut di Kuala Perlis


  • Massa
  • Jumaat, 11 Mac 2022

PENCEROBOHAN tersebut turut menyebabkan kemusnahan ekosistem di kawasan tersebut sehingga menjejaskan hidupan laut yang dilihat semakin berkurangan. — Bernama

NELAYAN luar termasuk dari negara jiran Thailand, dikesan semakin ‘ligat’ menceroboh perairan Perlis di Kuala Perlis, bagi mengaut hasil laut negeri itu, sekali gus menimbulkan rungutan daripada nelayan dan penduduk setempat.

Pencerobohan tersebut turut menyebabkan kemusnahan ekosistem di kawasan tersebut sehingga menjejaskan hidupan laut yang dilihat semakin berkurangan.

Tinjauan Bernama bersama nelayan tempatan di Kuala Perlis, Perlis, mengesan sekitar 20 bot nelayan luar dipercayai dari Pulau Langkawi, Pulau Pinang serta Thailand yang giat melakukan aktiviti menangguk kerang dan siput retak seribu.

Seorang nelayan tempatan Shaharim Senapi, 65, berkata, kawasan perairan Perlis sejauh lima batu nautika dari pantai, sebelum ini telah digazetkan sebagai lokasi pembiakan hidupan laut oleh Jabatan Perikanan.

"Sudah bertahun nelayan tempatan tidak mengganggu hidupan laut di kawasan itu, namun sejak setahun lepas nelayan luar ini telah menceroboh perairan Perlis sehingga menyebabkan ekosistem hidupan laut yang dipelihara sejak 20 tahun lalu musnah.

"Mereka menggunakan bot untuk menangguk kerang dan siput retak seribu bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah," katanya.

Seorang lagi nelayan Jamaluddin Alias Jaafar, 61, berkata, pencerobohan itu juga telah menyebabkan nelayan tempatan menanggung kerugian berikutan hasil laut yang diperoleh setiap hari semakin berkurangan.

Dia berkata, lebih merunsingkan, nelayan tempatan terpaksa menanggung kos bagi membaiki pukat yang rosak disebabkan aktiviti menangguk siput.

"Aktiviti menangguk siput ini mengundang masalah kerana menyebabkan kehadiran siput berduri yang mengakibatkan kerosakan pada pukat kami.

"Selain itu, tanah di kawasan perairan terlibat juga musnah dan berbau busuk sehingga menyebabkan ikan, ketam, dan udang sukar ditemukan lagi,” katanya.

Bagi Asri Jad, 49, pencerobohan nelayan luar telah menjejaskan pendapatan nelayan tempatan yang kebiasaannya mampu memperoleh hasil tangkapan hingga RM100 sehari, tetapi kini berkurang kepada RM20 - RM30 sehari.

"Kos bagi membaiki pukat yang rosak juga bukan sedikit, kadangkala mencecah hingga RM100 dan keadaan ini menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian besar," katanya.

Dalam pada itu, Exco Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Perlis, Nurulhisham Yaakob berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu itu, malah perkara tersebut telah beberapa kali dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri sebelum ini.

Menurutnya tindakan sukar dilaksanakan disebabkan kekangan peralatan yang tidak mencukupi dalam kalangan pihak penguat kuasa.

"Disebabkan itulah, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man memohon peruntukan bagi menambah baik peralatan yang diperlukan bagi tujuan penguatkuasaan berhubung isu itu," katanya.

Azlan pada Khamis menerusi Facebooknya membangkitkan isu pencerobohan nelayan luar khususnya dari Thailand yang menangkap hasil laut di perairan Perlis, sewaktu Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke- 138 di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, kelemahan aktiviti penguatkuasaan berlaku kerana kekangan kewangan untuk menjalankan operasi kawalan di perairan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Polis Marin Perlis juga telah melakukan 22 kes tangkapan dan rampasan terhadap nelayan yang menangguk siput sepanjang tahun ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

perairan Perlis, nelayan, ceroboh, laut, asing