GIMNAS negara Farah Ann Abdul Hadi akhirnya menamatkan spekulasi apabila secara rasmi mengumumkan persaraannya pada Sabtu.
Farah Ann, yang mengucapkan selamat tinggal kepada gimnastik menerusi Facebooknya, menyifatkan penglibatan selama 25 tahun dalam sukan itu sebagai satu perjalanan yang menakjubkan.
"Dua puluh lima tahun lepas, seorang anak kecil mengambil keberanian dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.
"Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif,” katanya.
Atlet kelahiran Selangor itu berkata, sangat bersyukur atas persaraannya yang mengikut jangka masa terutama selepas layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2021.
Gimnas berusia 27 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang berkecimpung dalam sukan gimnastik dan atas segala kenangan, pengalaman, tunjuk ajar, kasih sayang dan sokongan yang diberikan.
Walaupun telah bersara, Farah Ann berkata, beliau akan terus menyumbang dalam sukan itu pada masa akan datang.
"Gimnastik adalah sebahagian daripada saya, ia menjadi minat saya dan berharap dapat terus menyumbang dalam sukan ini,” katanya.
Farah Ann membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India muncul antara gimnas terbaik Malaysia di pentas Sukan SEA.
Gimnas negara itu meraih tujuh pingat emas, dua perak dan tiga gangsa di temasya dwitahunan itu dengan Sukan SEA 2019 di Filipina adalah pencapaian terbaik dengan mengutip tiga emas dalam acara senaman lantai, palang bertingkat dan all-around.
Pencapaian terbaik Farah Ann adalah layak beraksi di pentas Olimpik buat pertama kali tahun lepas, menyaksikan beliau menduduki tempat ke-68 daripada 85 peserta selepas mengutip 48.565 mata pada pusingan kelayakan acara all-around wanita.
Beliau mengutip 11.600 mata (palang bertingkat), 11.566 mata (titian imbangan), 12.233 mata (senaman lantai) dan 13.166 mata (melombol).
Sebelum ini, masa depan Farah Ann bersama skuad kebangsaan menjadi tanda tanya apabila dilaporkan tidak mengikuti latihan selama tiga minggu dan menyuarakan hasrat untuk bersara.
Terdahulu, Bernama melaporkan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) hari ini mengesahkan bahawa Farah Ann tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram