Pesakit Covid-19 'makan hati' tak dapat mengundi, cadang buka saluran di PKRC


  • Politik
  • Sabtu, 12 Mac 2022

CADANGAN pembukaan pusat mengundi di PKRC perlu dipertimbang bagi membolehkan pengundi yang dijangkiti Covid-19, mengundi. — Gambar hiasan

BAGI pesakit Covid-19, peluang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memilih kerajaan negeri yang baharu terpaksa dilupakan sementara bagi menumpukan perhatian kepada proses pemulihan kesihatan diri sendiri.

Bagaimanapun, ada yang mencadangkan supaya pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan membuka pusat mengundi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pada Pilihan Raya Umum atau PRN pada masa hadapan.

Norjihan Sukaraman, 24, yang merupakan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Pasir, Pagoh berkata, dia terkilan kerana sudah membuat persiapan untuk mengundi namun dijangkiti Covid-19 dua hari lepas.

"Saya tanya ibu dan ayah tentang proses mengundi, apa sepatutnya dibuat, dokumen apa nak bawa supaya nanti bila sampai di tempat pengundian, saya sudah tahu apa nak buat.

"Terkilan juga, sebab sebelum ini memang teruja sangat nak mengundi kerana rasa dah dewasa (bila diberi tanggungjawab mengundi).

"Lagipun teruja juga hendak jumpa kawan-kawan zaman sekolah yang turut mengundi di sana, tetapi tidak mengapa mungkin pilihan raya selepas ini ada peluang, insya-ALLAH," katanya.

Bagi Norshahida Mohd Zani, 25, yang sepatutnya mengundi di Dun Larkin berkata, dia teruja mahu mengundi berikutan ramai calon muda dan parti baharu yang bertanding.

"Masa dapat tahu kena pergi mengundi, saya lihat parti mana yang akan bertanding, saya baca manifesto setiap parti, ada parti baharu bertanding. Jadi saya rasa PRN Johor ni menarik sebab banyak tampilkan calon muda. Biasanya sebelum ini lihat muka yang sama sahaja.

"Terkilan tak dapat mengundi...kerana pada mulanya saya sangka di PKRC ni akan dibuka saluran mengundi untuk pesakit di sini. Jangkaan saya meleset. Sedih juga kerana memang saya tunggu nak mengundi,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Norhayati Samsudin, 60, yang sepatutnya turut mengundi di Dun Larkin bersetuju dengan pandangan Norshahida agar pihak berkuasa mempertimbangkan untuk membuka pusat mengundi di PKRC terlibat.

Cadangan pembukaan pusat mengundi di PKRC katanya, perlu dipertimbang bagi membolehkan pengundi yang dijangkiti Covid-19 dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

"Hampa apabila tidak dapat mengundi. Sebelum ini saya tidak pernah ketinggalan mengundi setiap kali pilihan raya. Bersemangat sangat. Jadi, saya harap KKM dan SPR dapat fikirkan cara untuk kami yang terpaksa dikuarantin di PKRC untuk mengundi,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pesakit, Covid-19, PKRC, KKM, PRN Johor, keputusan, mengundi