Kemenangan BN di Johor mampu tarik semula pelabur — Ahmad Zahid


  • Politik
  • Jumaat, 11 Mac 2022

AHMAD Zahid percaya kemenangan BN akan membolehkan kerajaan yang kukuh dan stabil dibentuk. — Bernama

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Johor akan membolehkan kerajaan yang kukuh dan stabil dibentuk dan memulihkan negeri itu menjadi mercu tanda kepada pelabur, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Johor pernah menjadi negeri utama di negara ini dari segi pelaburan asing dan domestik di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

"Tetapi sekarang, negeri ini telah jatuh ke nombor lapan," katanya dalam ucapan ketika pertemuan dengan jentera MIC di Tampoi di Johor Bharu, Johor pada Jumaat.

Tambah Ahmad Zahid, apabila Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad diberi peluang menerajui kerajaan negeri pada Mac 2020, beliau terpaksa membaiki kerosakan yang dilakukan oleh dua orang sebelumnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mereka (pembangkang, sebelum PRU14 pada 2018) berjanji Johor akan menjadi keutamaan mereka ketika menjadi kerajaan tetapi tiada kepercayaan daripada pelabur asing.

“Ramai yang memindahkan perniagaan mereka (ke tempat lain) malah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberitahu saya beberapa projek pelaburan bernilai RM18 bilion dipindahkan dari Johor ke Pahang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelabur-pelabur berkenaan berpindah ke Pahang memandangkan keadaan politik di sana lebih stabil.

Tambahnya, inilah sebab utama pengundi perlu memberi Hasni mandat yang kukuh untuk membentuk kerajaan di Johor.

“Esok (Sabtu) adalah hari penting untuk pengundi (mewujudkan) kestabilan politik dan BN ikhlas membantu rakyat. Kami mempunyai rekod prestasi yang terbukti,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram