LEMBAH Klang sekali lagi dilanda banjir kilat di beberapa lokasi di ibu negara berikutan hujan lebat berterusan sejak pukul 2.30 petang pada Isnin.
Warganet berkongsi video memaparkan paras air yang naik di beberapa lokasi, sehingga pemandu kenderaan ringan tidak dapat melalui kawasan terjejas.
Antara kawasan terjejas adalah Jalan Kuchai Lama dan Jalan Tun Razak.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan banjir kilat itu menyebabkan beberapa laluan terjejas antaranya di Besraya Expressway melibatkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai.
Selain itu, banjir kilat di lebuhraya Kesas mengakibatkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.
Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram