PEMERIKSAAN dan penguatkuasaan lebih ketat diperlukan untuk menangani perubahan iklim yang menyebabkan bencana alam seperti banjir di negara ini.
Menurut ahli Majlis Akademi Sains Malaysia (ASM), Dr Helen Nair, kerajaan harus lebih tegas terhadap pemain industri pembinaan dan mengarahkan mereka menunjukkan bagaimana projek yang mahu dibangunkan tidak akan memudaratkan alam sekitar.
"Syarikat-syarikat ini mesti menunjukkan mereka sudah mengambil semua langkah yang perlu untuk mencegah sebarang kesan negatif kepada persekitaran serta turut memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan membahayakan alam semula jadi.
"Amalan pengurusan yang baik ini sudah dijalankan di Eropah. Kita perlu mengkaji dan melaksanakannya di Malaysia," katanya.
Tambahnya, negara menghadapi banjir yang semakin teruk kerana pembalakan dan pembangunan tidak terkawal.
Ujarnya lagi, perancangan yang rapi amat diperlukan bagi memastikan terdapat saluran untuk mengalirkan air supaya hujan tidak menjejaskan penduduk dan alam sekitar.
Jelas beliau, kerajaan dan syarikat-syarikat tempatan perlu memikirkan bukan sahaja pulangan pelaburan mereka tetap juga pulangan atas nilai.
"Apabila tanah ditarah, tiada lagi tumbuh-tumbuhan dan pokok yang bertindak sebagai pengawal atau tembok untuk menahan air," menurutnya.
Nair berkata, Malaysia memiliki dasar yang mencukupi untuk menangani krisis iklim tetapi kurangnya penguatkuasaan.
"Sekiranya dasar ini dikuatkuasakan dengan tegas, perancangan yang betul akan berlaku dan kita boleh mengurangkan beberapa masalah alam sekitar sekarang," ujarnya.
Pada Disember dan Januari, Malaysia mengalami beberapa bencana banjir terburuk dalam sejarah negara akibat musim hujan.
Banjir dahsyat melanda Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Kelantan.
Di Kelantan, dua kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada Rabu terpaksa ditangguhkan.
Bulan lalu, ribut melanda beberapa bahagian di Melaka, menumbangkan pokok dan merosakkan harta benda selain menyaksikan lebih 10 orang penduduk terpaksa dipindahkan.
Pada penghujung Januari, puting beliung mini berlaku di Lembah Kinta, Perak, sekali gus memusnahkan ratusan rumah sebelum sambutan Tahun Baharu Cina. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
