Adetu pasang impian 'takluk' liga besar Eropah


  • Podium
  • Rabu, 02 Mac 2022

ADETU (kanan) menjadi ayam tambatan buat NSFC menjelang musim baharu Liga Super 2022. — Facebook

PEMAIN ini pernah menggegarkan liga Cyprus dengan rekod jaringan yang besar dalam tempoh semusim.

Ketika beraksi bersama kelab Baf Ulku Yurdu, Kossi Adetu menjaringkan 26 gol dalam 28 perlawanan pada musim pertamanya.

Pada musim 2022, Negeri Sembilan FC (NSFC) nampaknya langkah kanan mendapatkan penyerang kelahiran Togo yang berbisa ini.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan mengakui tertarik dengan corak permainan Adetu.

"Dia memainkan peranan yang baik sebagai 'target man'. Dia mampu memegang bola dengan baik tetapi apa yang mengagumkan saya tentang permainannya adalah kelajuan dan kemampuan menghasilkan gol.

"Sewaktu dia bermain di Liga Liberia, dia sering menjadi antara penjaring terbanyak liga tersebut," kata Devan pada Januari lalu.

Dilahirkan di Notse, wilayah Plateaux di Togo, Adetu meninggalkan negara kelahirannya pada usia muda.

Dia berpindah ke Ghana bersama keluarganya dan memulakan karier bola sepak di negara tersebut.

Selepas itu, Adetu berkelana ke Mali, Liberia, Mesir dan Cyprus.

Pemain berkenaan menjadikan penyerang berbisa Bayern Munich, Robert Lewandowski sebagai idolanya dan memasang impian untuk bermain di liga besar Eropah.

"Saya mahu bermain di kelab-kelab Perancis dan Sepanyol.

"Saya suka bermain di Cyprus tetapi saya mahukan lebih lagi, saya mahu pergi di mana bola sepak mempunyai banyak pengikutnya," kata Adetu dalam satu temubual bersama portal antarabangsa pada 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram