Empat import baharu bikin Harimau Selatan makin garang mengaum


  • Podium
  • Isnin, 28 Feb 2022

FORESTIERI antara import skuad JDT yang memiliki kualiti tersendiri. — Facebook JDT

MENGEKALKAN kejuaraan Piala Sultan Hj Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) selama lima tahun berturut-turut daripada tujuh kali kemenangan, telah menunjukkan Johor Darul Takzim (JDT) sudah bersedia untuk memulakan musim ini dengan lebih cemerlang.

Dengan menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC), menerusi jaringan besar telah membuktikan bahawa JDT sebuah pasukan yang sudah lengkap dari semua bahagian.

Pemerhati sukan, Hasnizam Uzir berkata, skuad Harimau Selatan itu akan terus memburu kejuaraan Liga Super musim ini serta bersedia untuk mencipta satu lagi catitan sejarah baharu terutama di peringkat Liga Juara-juara Asia (ACL) nanti.

Beliau berkata, kehadiran empat pemain import baharu seperti Fernando Forestieri, Moussa Sidibe, Carli de Murga dan Bienvenido Maranon telah menambah kekuatan sedia ada di dalam pasukan JDT kerana kesemua pemain itu mempunyai kualiti tersendiri.

"Lihat sahaja peranan yang dimainkan Forestieri di bahagian serangan dan De Murga di bahagian pertahanan, di mana mereka begitu selesa dan memahami dengan falsafah bola sepak yang diwujudkan Harimau Selatan itu.

"Mereka juga telah menunjukkan persefahaman yang baik dengan pemain-pemain Harimau Selatan lain," katanya.

Hasnizam yang juga bekas pemain JDT menyifatkan kombinasi Forestieri bersama pemain tengah dan serangan begitu baik di mana mereka saling mengetahui apa yang perlu dilakukan terutama di dalam kawasan serangan.

"Perhatikan bagaimana permainan satu dua yang kerap dimainkan di antara Bergson dan Forestieri sehingga dia berjaya melakukan jaringan kedua JDT dan pertama peribadinya untuk Harimau Selatan.

"Bukan itu sahaja beliau juga seorang pemain yang mempunyai kepantasan serta cepat membuat keputusan tepat bagi melakukan hantaran atau membuka larian untuk memberi sokongan kepada rakan dan dengan keputusan itu akan memberi tekanan kepada pertahanan lawan," katanya.

Menurut Hasnizam, kualiti pemain import beginilah yang akan menambah kekuatan yang ada pada Harimau Selatan.

"Dengan adanya mereka ini juga akan membantu meningkatkan tahap permainan pemain-pemain tempatan kerana mereka akan bersaing dengan sihat.

"Lihat sahaja bagaimana Nazmi Faiz Mansor yang sudah mula mencuri perhatian Bejamin Mora untuk diletakkan sebagai pemain utama.

"Dengan persaingan sihat itulah menonjolkan kembali keyakinan diri dan kreativiti yang pada Nazmi Faiz," katanya.

Katanya, kesempatan sedemikian yang perlu digunakan oleh pemain tempatan untuk menimba ilmu.

"Apabila sesebuah pasukan itu mempunyai pemain import yang berkualiti sebagaimana JDT, mereka berjaya mengekalkan rentak permainan," ulasnya. Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram