Bekas ketua jurulatih hoki kebangsaan Yahya Atan meninggal dunia


  • Podium
  • Isnin, 28 Feb 2022

ALLAHYARHAM menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.45 petang di Hospital Kuala Lumpur.

BEKAS ketua jurulatih skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan, Yahya Atan atau lebih dikenali sebagai ‘Pakya’, meninggal dunia pada usia 67 tahun pada petang Ahad.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.45 petang di Hospital Kuala Lumpur.

KHM menyifatkan sukan hoki amat dekat di hati beliau, yang namanya cukup terkenal dalam kalangan penggiat sukan itu.

"Allahyarham Pakya merupakan seorang yang sangat mencintai sukan hoki dan telah banyak menghabiskan waktunya membantu sukan hoki sama ada di peringkat akar umbi mahupun di peringkat lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

KHM turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Jasa Allahyarham Pakya dan keluarga beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh KHM,” menurut kenyataan itu lagi.

Difahamkan, Pakya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada 25 Februari selepas ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dalam tandas, sebelum aksi skuad hoki wanita Sabah menentang Mutiara Impian dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2022.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Terdahulu, pada Ahad arena olahraga turut dikejutkan dengan pemergian bekas pelari 800 meter (m) dan 1,500m Olimpik negara R. Subramaniam, yang difahamkan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang selepas mengadu mengalami sakit dada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram