Wajah baharu Harimau Muda, layan Laos kali kedua


  • Podium
  • Ahad, 20 Feb 2022

PEMAIN B-23 Malaysia perlu lebih tajam di hadapan pintu gol menjelang pertemuan kedua menentang Laos pada Isnin. — Facebook/FAM

TIADA sesiapa yang sukakan kekalahan, begitu juga dengan Harimau Muda yang kini meletakkan sasaran untuk mengembalikan maruah mereka dalam Kejohanan Piala AFF Bawah 23 (B-23).

Para pemain kebangsaan bertekad mahu bermain bermati-matian untuk menewaskan Laos dengan jumlah jaringan yang besar dalam pertemuan pusingan kedua Kumpulan B di Stadium Morodek Techo, Phnom Penh, Kemboja pada Isnin, bagi memastikan harapan ke separuh akhir cerah.

Sekiranya kedua-dua pasukan terikat dengan jumlah agregat yang sama selepas masa tambahan, perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney berkata, para pemainnya kecewa dengan kekalahan tempoh hari tetapi tetapi beliau akan membantu membakar semangat mereka untuk kembali bangkit.

"Kami tahu kami boleh bermain dengan lebih baik tetapi saya akan pastikan untuk menanam keyakinan dalam diri mereka," katanya.

Jurulatih dari Australia itu berharap pemain mudanya tidak dibandingkan dengan skuad senior.

"Saya tahu para peminat mahukan kejayaan selepas Malaysia tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 tetapi tidak adil untuk membandingkan mereka.

"Untuk menilai prestasi kami berdasarkan itu, adalah tidak betul.

"Kami di sini untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada mereka.

"Terdapat ramai pemain baharu di sini dan hanya sebahagian daripada mereka bermain ketika kelayakan Piala Asia B-23 pada tahun lalu.

"Kami di sini untuk belajar, melihat kelemahan kami dan memperbaikinya sebelum menyertai Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun," ujarnya.

Bagi perlawanan timbal balik, Maloney tidak berhasrat untuk mengubah gaya permainannya tetapi mahu barisan serangannya lebih tajam di hadapan gol.

"Kami mencipta 14 peluang menentang Laos tetapi tidak berjaya menyudahkan peluang dengan baik.

"Kami mahukan keputusan yang positif dan mahu beraksi mengikut cara yang kami percaya, dengan harapan untuk menjaringkan lebih banyak gol," jelasnya.

Gol tunggal Malaysia ketika menentang Laos dijaringkan oleh A. Selvan dan pemain itu mendapat pujian Maloney.

"Selvan bekerja keras tanpa jemu sepanjang berada di atas padang dan beraksi dengan baik. Sangat bagus untuk dia mendapat gol dan kami berharap dia terus berkembang," menurut Maloney.

Cara terbaik untuk Maloney dan anak buahnya menutup mulut pengkritik adalah dengan menunjukkan aksi terbaik menentang Laos pada Isnin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram