Ahmad Zikri dilepaskan, Fahmi Daniel kembali perkuat pasukan di Kemboja


  • Podium
  • Rabu, 16 Feb 2022

AHMAD Zikri mengalami kecederaan serius dan terpaksa diketepikan. — Awani

PELUANG pemain sayap Selangor FC 2, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim untuk beraksi pada Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja kembali terbuka.

Ia berikutan beliau sah menggantikan pemain pertahanan, Ahmad Zikri Mohd Khalili yang terpaksa dilepaskan kerana kecederaan lutut.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu, pertukaran saat akhir itu dilakukan sebelum skuad negara menghantar senarai akhir kepada AFF untuk pendaftaran pemain pada Ahad lepas.

Dalam kenyataan itu, Ketua Jurulatih skuad B-23 kebangsaan Brad Maloney berkata, beliau ingin memberikan peluang kepada Ahmad Zikri untuk pulih dan kembali berlatih bersama pasukan namun kecederaan serius dialaminya menyebabkan pemain berusia 20 tahun itu terpaksa diketepikan.

"Zikri telah mengalami kecederaan berkenaan selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan bersama Selangor FC namun kecederaannya itu tidak dapat pulih dalam jangka masa pendek.

"Justeru itu, kami telah menyenaraikan semula Fahmi yang masih menjalani kuarantin di hotel isolasi bagi menggantikan kekosongan pemain di dalam pasukan" kata Maloney.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan AFF, Fahmi Daniel dan seorang lagi pemain Shafi Azswad Sapari perlu menjalani sesi kuarantin selama lima hari sebelum kedua-dua pemain itu dibenar kembali berlatih bersama pasukan.

Terdahulu, Shafi Azswad menyertai pasukan pada saat akhir bagi menggantikan Muhammad Fahmi yang disahkan positif Covid-19 setibanya di Phnom Penh pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram