DUA penunggang motosikal 'melambung' apabila sebuah kereta yang berada di lorong kiri tiba-tiba membelok ke arah kanan.
Video kemalangan tersebut terakam melalui kamera papan pemuka sebuah lagi kereta lain.
Berdasarkan video itu, motosikal yang pertama merempuh bahagian depan kereta tersebut merupakan motosikal penghantar makanan Grab.
Sebuah lagi motorsikal gagal berhenti sebelum turut melanggar bahagian belakang kereta tersebut.
Impak daripada pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa melayang ke udara.
Video berdurasi 12 saat tersebut dikongsikan pemilik akaun Twitter, Malaysia Most Virall pada Isnin.
"Ini memang bodoh, kau duduk lane (lorong) kiri lepas tu nak U-turn, dah tu tak reti nak tengok side mirror, tak faham aku," komen seorang warga maya.
Ada antara warga maya yang turut mendesak supaya pemandu kenderaan Honda berwarna hitam tersebut dikenakan hukuman berat.
"Tarik lesen kalau kes macam ni," ujar seorang netizen.
Setakat ini tidak dapat dipastikan bila serta dimana kemalangan tersebut berlaku.
Namun seorang individu yang mengaku pemilik rakaman dashboard berkenaan, Rylan Eng berkata kepada Majoriti, kejadian tersebut berlaku di Jalan Green, Kuching pada Isnin, jam 12 tengah hari.
Jelasnya, kedua-dua pemandu motosikal terbabit selamat, namun kecederaan yang di alami pemandu Grab terbabit agak parah.
Dia bagaimanapun tidak pasti akan keadaan pemandu motosikal yang kedua.
"Pemandu Grab tersebut masuk hospital, yang seorang lagi saya tak ada maklumat.
"Keadaan pemandu Grab agak parah, kaki dia mungkin patah," katanya, menambah abang kepada pemandu Grab tersebut telah pun membuat laporan polis.
Rylan yang pada ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah, berkata, dia dimaklumkan orang ramai yang berada di tempat kejadian bahawa pemandu kereta terbabit melarikan diri.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram