Nor Azfar tidak gentar cabaran Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

NOR AZFAR (kiri) bakal mengetuai Harimau Muda dalam usaha melakar keputusan memberangsangkan dalam Piala AFF B-23 bulan ini. — Facebook

PEMAIN tengah skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 (B-23), Nor Azfar Fikri Azhar menggesa rakan sepasukannya supaya tidak gentar apabila berdepan musuh tradisi, Indonesia dalam kejohanan Piala AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja bermula 15 Februari ini.

Skuad Indonesia akan dibarisi oleh beberapa pemain yang beraksi dalam Piala Suzuki AFF 2020 seperti pemain pertahanan, Alfeandra Dewangga; pemain sayap, Pratama Arhan; pemain tengah, Rachmat Irianto dan pemain sayap, Ramai Rumakiek.

Barisan pemain muda Indonesia menunjukkan mereka mampu bersaing di peringkat senior apabila berjaya layak ke final kejohanan berkenaan namun tewas secara agregat 2-6 kepada Thailand.

Menurut Nor Azfar, dia tidak mahu rakan sepasukannya berasa 'gerun' dengan Indonesia.

"Beberapa pemain mereka beraksi dalam pasukan senior tetapi saya percaya kami berada pada tahap sama.

"Kita akan beraksi tanpa rasa takut. Sebaliknya, kami perlu bermotivasi untuk mencuba dan menewaskan pasukan yang kuat ini," ujarnya.

Harimau Muda akan menentang Indonesia di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada 21 Februari kelak.

Selain Indonesia, Malaysia juga diundi bersama Myanmar dan Laos. Harimau Muda akan memulakan aksi menentang Myanmar pada 15 Februari sebelum bertemu Laos pada 18 Februari.

Tiga pemenang kumpulan dan pasukan tempat kedua terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir.

Nor Azfar merupakan salah seorang tonggak Harimau Muda yang beraksi cemerlang dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia tahun lalu.

Dia merupakan penjaring terbanyak dengan dua gol dan membantu pasukan layak ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun.

Pada perlawanan persahabatan pertama skuad Harimau Muda tahun ini, Nor Azfar mengetuai pasukan itu mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Sabah FC pada Sabtu.

Di bawah kepimpinannya, Malaysia diharapkan dapat melangkah lebih jauh di Kemboja. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram