De Bruyne pilihan Muhammad Akmal


  • eSports
  • Sabtu, 11 Dis 2021

MUHAMMAD Akmal (kanan) bergelar atlet e-sukan pada tahun lalu namun berjaya menempatkan sebagai salah seorang pemain terbaik FIFA negara. — Ihsan GBX Esports

MESKIPUN baru setahun jagung berkecimpung dalam arena e-sukan profesional, namun pemilik nama Muhammad Akmal Abdul Rafil mampu menempatkan diri dalam kelompok lima teratas FIFA Future Ultimate Team (FUT) Asia Timur.

Muhammad Akmal, 19, turut berjaya menempatkan diri dalam senarai atlet FIFA yang mewakili FAM eRimau iaitu skuad kebangsaan bagi permainan video berkenaan dalam FIFA eNations Cup tahun ini.

Ketika ditanya tentang pemain bola sepak kegemarannya sewaktu bermain FUT, Muhammad Akmal yang beraksi bersama pasukan GBX Esports menyatakan bintang Manchester City dan Belgium, Kevin De Bruyne sebagai pilihannya.

"Saya memilih De Bruyne kerana gaya permainannya sangat serasi dengan sistem FIFA 22. Tahun ini, FIFA perlu banyak melakukan hantaran dan De Bruyne lebih seronok untuk digunakan.

"Saya sendiri memiliki De Bruyne dalam pasukan saya," katanya kepada Majoriti.

DSC06331

MUHAMMAD Akmal menempatkan diri dalam FAM eRimau. — Ihsan GBX Esports

Tambah Muhammad Akmal, untuk menjadi atlet e-sukan bukan sahaja memerlukan seseorang individu itu bermain dengan baik tetapi juga menuntut komitmen yang tinggi.

"Apabila anda memasuki bidang ini, adakah dalam tempoh empat atau lima tahun lagi, anda boleh memberikan komitmen secukupnya.

"Banyak perkara perlu dipertimbangkan apabila menceburi bidang e-sukan. Sekiranya anda mahu melakukan penstriman dan penciptaan kandungan, persaingan sangat sengit.

"Tanya diri anda sendiri dan buatlah keputusan sewajarnya," ujarnya lagi.

Jelas Muhammad Akmal yang masih bergelar seorang mahasiswa dalam bidang kejuruteraan elektrik, agak sukar untuk membahagikan masa antara karier sebagai seorang atlet e-sukan dan pelajar.

"Perlukan banyak komitmen dan pengurusan masa yang bagus. Pastikan tiada aspek yang tertinggal.

"Rutin harian saya adalah saya akan berlatih dua hingga tiga jam sehari. Kalau tiba musim peperiksaan, saya akan mengutamakan pelajaran terlebih dahulu," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram