Kalau bukan pasal bola, import baharu Penang FC dah jadi cef


  • Podium
  • Khamis, 03 Feb 2022

RONTINI (dua dari kiri) melakukan debut bersama Filipina pada usia 20 tahun. — Agensi

KELAB Liga Super, Penang FC dilaporkan bakal mengisi kuota import Aseannya dengan membawa masuk pertahanan muda berbakat Filipina, Christian Rontini dalam masa terdekat.

Pemain kacukan Itali-Filipina itu ketika ini beraksi bersama Azkals Development Team (ADT) di liga utama Filipina dan juga merupakan salah seorang pemain dalam skuad antarabangsa negara itu.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah beraksi di liga Itali bersama kelab Sangiovannese pada 2018 hingga 2020.

Mungkin ramai yang menganggap beliau telah dibentuk untuk menjadi seorang pemain bola sepak sejak kecil berdasarkan bakat yang dimilikinya.

Namun, Rontini sebenarnya sedang mengikuti kursus kulinari untuk menjadi seorang cef sebelum bakatnya dikesan seorang pemerhati bakat dari Filipina.

Ketika menuntut di institut Buontalenti, Florence, beliau aktif bermain bola sepak bersama kelab amatur Itali, Belmonte dan Floriagafir sebelum bakatnya dikesan Sangiovannese.

Sebaik saja beliau menamatkan pengajian, pencari bakat berkenaan kemudian memanggilnya untuk uji bakat bersama skuad kebangsaan Filipina dan Rontini akhirnya melakukan debut bersama pasukan negaranya dalam satu aksi persahabatan menentang China pada Julai 2019.

Rontini, yang ketika itu berusia 20 tahun, masuk sebagai pemain gantian pada 10 minit terakhir, namun nasib tidak menyebelahinya apabila Filipina tewas 0-2.

Kini, pada usia 23 tahun, pemain itu merupakan antara tonggak pertahanan harapan negaranya turut dipanggil mewakili The Azkals dalam kejohanan Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram