Trio import baharu 'sempurna' buat The Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 02 Feb 2022

NETO Pessoa dijangka memenuhi harapan peminat untuk muncul mesin pemusnah Sabah FC musim ini. — Agensi

TIGA tonggak import baharu Sabah FC dilihat cukup sempurna untuk menepati sistem yang diterapkan jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee untuk memperkukuhkan skuad Borneo itu menghadapi cabaran Liga Super musim ini.

Kim Swee berkata, dengan menandatangani dua pemain Brazil – penyerang Neto Pessoa, pemain pertahanan tengah Jackson Souza – serta penyerang Jepun, Taiki Kagayama akan menjadikan Sabah FC menjadi lebih mantap.

“Mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk menepati sistem kami. Mereka telah dinilai dan diselidik dengan teliti berdasarkan aksi dengan kelab mereka sebelum ini.

"Saya menonton banyak video dan percaya mereka sangat sesuai untuk permainan kami,” kata Kim Swee.

Pessoa, 27, telah bermain untuk beberapa kelab Serie C Brazil seperti Botafogo-SP, Ypiranga dan Nautico serta menjaringkan 10 gol dalam 15 perlawanan dalam semua pertandingan dengan kelab terakhirnya, Remo.

Sementara Souza yang berusia 31 tahun kali terakhir bermain untuk kelab Serie A Brazil, Fortaleza juga berpengalaman bersama beberapa kelab terkemuka seperti Ituano, Palmeiras, Sao Paulo, Bahia dan Goias sebelum itu.

Ini adalah kali pertama kedua-dua pemain itu bermain di luar Brazil.

Dalam pada itu, Kagayama, 25, pula memulakan karier profesionalnya di Finland tiga tahun lalu apabila bermain untuk kelab seperti MuSa, KPV dan bekas pelatih Universiti Kansai itu turut bermain di Liga Europa bersama Inter Turku tahun lalu.

“Prestasi Taiki di Finland untuk Inter Turku adalah baik. Dia licik, pantas dan sering membantu bahagian bawah berbanding posisinya.

“Bukan sahaja dia pantas dalam serangan, tetapi dia juga bekerja keras dari segi kawalan bola.

“Kami memerlukan seseorang yang berada di atas dan Pessoa menepati ciri-ciri itu kerana dia mempunyai rekod menjaringkan gol yang baik di Brazil manakala pemain pertahanan, Souza juga pernah bermain dengan formasi tiga bek untuk kelabnya sebelum ini dan kami memerlukan seseorang yang berkaliber sepertinya,” kata Kim Swee.

Kim Swee yang kini di Melaka kerana sambutan Tahun Baharu Cina akan bertemu semula pemain The Rhinos di Kota Kinabalu pada Jumaat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram