RTM runding hak siaran Piala Dunia 2022


  • Primer
  • Isnin, 31 Jan 2022

RUNDINGAN bersama FIFA untuk mendapatkan hak penyiaran akan diketahui dalam masa terdekat. — Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) berunding dengan ejen dilantik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan hak penyiaran bagi Piala Dunia 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan rundingan itu akan diketahui dalam masa terdekat.

"Insya-ALLAH kita perlu sedikit masa lagi untuk memuktamadkannya (rundingan) tetapi sudah pasti RTM akan menjadi salah satu saluran yang akan menyiarkan World Cup 2022," katanya selepas melancarkan Majlis Kerjasama Tajaan Jakel dan RTM di Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai perkembangan dalam mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2022.

Mengulas mengenai akses media bagi parti-parti bertanding pada Raya Negeri (PRN) Johor, Annuar berkata, kerajaan bersetuju menggunakan model PRN Melaka dan Sarawak dengan penambahbaikan bagi memberi ruang kepada calon menggunakan saluran disediakan RTM sebagai medium memperkenalkan diri.

Beliau berkata, kaedah berkenaan bertujuan memberikan akses maklumat kepada pengundi mengenali calon-calon wakil rakyat yang bertanding dan seterusnya membantu mereka membuat keputusan sebagai pemilih.

"Kerajaan bersetuju supaya saluran radio dan televisyen kerajaan memberi ruang untuk membantu calon-calon dengan kaedah bersesuaian seperti PRN Melaka dan Sarawak.

"Oleh kerana ia Pilihan Raya Negeri jadi kita tak boleh gunakan masa siaran televisyen sepenuhnya kerana siaran televisyen adalah siaran nasional...radio pula mempunyai penyiaran setempat untuk tiap-tiap bandar seperti Johor Bahru dan sebagainya, itu boleh ditingkatkan lagi dan diberi ruang kepada calon," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram