PENDATANG baharu Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) melaungkan amaran awal buat pertahanan liga dengan kehadiran dua penyerang import berbisa musim ini.
Juara Liga Premier musim 2021 itu membawa masuk pemain Brazil, Matheus Alves dan Kossi Adetu dari Togo yang mempunyai reputasi tinggi bersama pasukan-pasukan mereka sebelum ini.
Jurulatih Hoben Jang Hoben, K. Devan mendedahkan bahawa beliau akan menggunakan kedua-dua pemain import itu untuk mengetuai bahagian serangan pasukan.
Alves, 28, adalah pemain yang akan memikul harapan peminat kerana beliau pernah bermain untuk beberapa kelab terkemuka Thailand seperti Chonburi, PT Prachuap dan Police Tero, serta pernah beraksi untuk kelab Liga 2 Korea, Chungnam Asan.
Beliau pernah mencipta reputasi di Malaysia lima tahun lalu apabila menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan untuk Pahang dan membantu pasukan itu layak ke final Piala FA pada 2017, sebelum tewas kepada Kedah 2-3.
Sementara Adetu, 26, yang sebelum ini pernah berkelana di liga Ghana, Liberia dan Mesir, terkenal dengan kepantasan dan kebolehannya menjaringkan gol.
Ini merupakan kali pertama beliau beraksi untuk kelab Asia sejak membuat penampilan sulung profesionalnya pada 2013.
“Selepas Matheus meninggalkan Pahang, dia bermain dalam liga yang lebih baik di Thailand dan Korea Selatan. Jadi berdasarkan pengalaman itu, kami percaya dia akan membawa intensiti dan kualiti ke dalam permainan kami.
“Beliau masih mempunyai rembatan yang padu, kelajuan, kekuatan serta penyudah kelas pertama. Saya akan mendapatkan yang terbaik daripadanya.
“Kossi cemerlang sebagai 'target man'. Beliau memegang bola dengan baik, tetapi apa yang menarik perhatian saya tentang permainannya ialah kepantasannya dan juga kemampuannya di depan gol.
“Ketika di Liberia, beliau sentiasa menjadi antara penjaring terbanyak dalam liga.
“Mereka baru sahaja menyertai kami untuk latihan. Saya harap kedua-dua Matheus dan Kossi akan bergabung dengan baik dan membawa banyak gol untuk pasukan,” jelas Devan.
Selain kedua-dua pemain itu, NSFC turut menandatangani pemain Iran, Omid Nazari, 30, bagi memperkuat bahagian tengahnya.
“Omid adalah pemain yang bagus. Dia telah bermain untuk pasukan kebangsaan Iran semasa awal kariernya. Sebelum ini, beliau bermain untuk Persib Bandung, yang merupakan antara kelab terbaik di Indonesia.
“Dia adalah pemain tengah menyerang, dan kami akan menguji semua pemain baharu ini dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum musim bermula,” kata Devan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram