
KELANTAN FC mendapat tonik terbaik untuk menajamkan barisan serangan apabila menandantangi penyerang kelahiran Haiti, Kervens Belfort bagi menghadapi musim Liga Perdana 2022.
Kervens sebelum ini cemerlang bersama kelab Abahani Limited Dhaka di Liga Bangladesh apabila menjaringkan 17 gol sepanjang musim, menjadikannya sebagai penjaring keempat terbanyak.
Malah Kervens dibariskan pasukan Haiti menentang Brazil ketika beraksi mewakili skuad kebangsaan negaranya. Perlawanan tersebut berlangsung ketika kejohanan Copa America 2016.
Tetapi Kervens juga mencipta nama apabila secara tidak langsung terlibat dalam insiden memalukan legenda Itali, Marco Materazzi ketika dia beraksi bersama kelab Liga Super India, Kerala Blasters.
INSIDEN Zidane-Materazzi paling diingat dalam sejarah Piala Dunia. — AFP
Kejadian itu berlaku pada musim 2016 apabila Kervens terlibat dalam pertelagahan dengan Manuele Blasi, pemain kelab musuh utama Chennaiyin FC yang dibimbing Materazzi ketika itu.
Materazzi bertindak campur tangan dalam pertelagahan tersebut, sekali gus mengundang kemarahan penyokong Kerala dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Dengan tindakannya itu campur tangan dalam hal Kervens-Manuele, penyokong Kerala bertindak mengedarkan kira-kira 35,000 topeng muka legenda Perancis, Zinedine Zidane ketika kedua-dua pasukan bertemu kembali.
Zidane terkenal dengan insiden menanduk dada Materazzi ketika perlawanan akhir Piala Dunia 2016 selepas bintang Itali itu menghina pemain perancang Perancis tersebut.
Zidane kemudiannya dikenakan kad merah dan Perancis kalah menerusi sepakan penalti kepada Itali.
PENYOKONG Kerala Blasters memakai topeng Zidane. — Twitter
Penyokong Kerala, Abdul Hadhi seperti dilaporkan The Sun berkata, mereka mahu menghantar mesej kepada Materazzi.
"Kami membantah keganasan tetapi kami mahu melakukannya secara aman.
"Tetapi isu ini perlu mendapat perhatian dunia dan Liga Super India. Jurulatih (Materazzi) tidak boleh terlibat dalam hal ini.
"Saya pasti semua orang masih ingat insiden Zidane-Materazzi. Dia (Materazzi) menjadi punca pemain legenda ini dibuang padang. Dia mempengaruhi salah seorang pemain terbaik dunia.
"Kami mahu menunjukkan kepadanya bahawa kami juga mampu mempengaruhi. Dan pastinya dunia akan ingat Zidane, bukan Materazzi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram