KELANTAN United (KUFC) melakukan perbelanjaan secara berjimat cermat bagi mengelakkan pasukan daripada terlibat dengan isu tunggakan gaji dan hutang kepada pemain dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim nanti.
Penasihat KUFC, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihak pengurusan telah merangka perbelanjaan itu mengikut kemampuan terutamanya ketika ingin mendapat khidmat pemain tempatan atau import.
"Hasil perancangan itu kita dapat menguruskan perjalanan kewangan dengan teratur khususnya melibatkan pembayaran gaji pemain walaupun gaji ditawarkan kepada pemain rendah berbanding pasukan lain.
"Oleh sebab itu, semasa kita di Liga M3 lagi, kita menekankan pengurusan kewangan secara berhemah dan alhamdulillah setakat ini tiada tunggakan bayaran yang boleh memberi impak kepada pasukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik antara Yakult Malaysia dan KUFC di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.
Pada majlis itu, Wan Roslan menyaksikan perjanjian antara Timbalan Presiden KUFC Datuk Zamri Ismail dan Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, sekiranya terdapat mana-mana pemain yang ingin menyertai pasukan tersebut, gaji ditawarkan mengikut kemampuan pemain tersebut dan ia terserah kepada pemain terbabit sama ada untuk menandatangani kontrak diberikan.
"Kita tidak mahu tawarkan gaji puluhan ribu ringgit akhirnya kita tidak boleh bayar, baik kita tawarkan gaji ribuan ringgit berpatutan yang boleh dibayar dengan baik.
"Apabila tiada isu tunggakan gaji ia akan memberi motivasi kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik untuk pasukan," katanya.
Sementara itu, Wan Roslan menyasarkan KUFC akan berada dalam kedudukan empat terbaik pada saingan Liga Premier yang berlangsung Mac depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram