PEMAIN beregu wanita dan kapten skuad Piala Uber 2020, Lee Meng Yean diumumkan telah meninggalkan pasukan kebangsaan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu wanita itu tidak akan bersama skuad negara berkuat kuasa Sabtu (29 Januari 2022).
"BAM ingin mengucapkan penghargaan kepada Meng Yean atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan,” kata BAM dalam kenyataan itu pada Sabtu.
Kali terakhir pemain kelahiran Melaka berusia 27 tahun itu membuat penampilan dengan pasukan kebangsaan ialah pada Terbuka Indonesia, November tahun lepas bersama-sama Yap Cheng Wen yang mengakhiri cabaran pada pusingan 16.
Meng Yean juga beraksi pada Olimpik Tokyo 2020 dengan Chow Mei Kuan pada acara beregu wanita sebelum gandingannya itu bersara pada September 2021.
Bersama-sama Mei Kuan, mereka berjaya merangkul pingat perak dan gangsa masing-masing pada Sukan SEA 2017 dan 2019, selain meraih kedudukan ke-10 terbaik dunia pada Mac tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram