Zii Jia tetap jadi pilihan utama BAM


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jan 2022

ZII JIA dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara menjelang BATC 2022. — Agensi

JUARA All England 2021, Lee Zii Jia yang berdepan krisis dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan telah selesai baru-baru ini, dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bulan depan.

BAM dalam kenyataan pada Sabtu turut mengumumkan lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong bagi melengkapkan barisan perseorangan negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai gandingan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

BATC 2022 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor dari 15 hingga 20 Februari ini.

Pada kejohanan itu, Malaysia dan sembilan pasukan lain akan bersaing untuk mengesahkan tempat automatik mereka dalam final Piala Thomas dan Uber 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Mei nanti.

Untuk rekod, pasukan lain ialah dari Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram