Saya tidak maksudkan sesiapa — Azizulhasni


  • Podium
  • Ahad, 23 Jan 2022

AZIZIULHASNI turut berpendapat bahawa hukuman BAM terhadap Zii Jia tidak relevan. — The Star

"SAYA tidak tuju kepada mana-mana pihak." Itu penjelasan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang berhubung perkongsian pengalaman yang disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Berkongsi dalam ciapan di media sosial Facebook pada Ahad, Azizulhasni menulis dia tidak sama sekali 'menyindir' mana-mana pihak dalam hantaran sebelum ini.

"Penulisan perkongsian tempoh hari adalah tentang pengalaman dan cerita diri saya seperti mana saya selalu kongsikan kepada pengikut sebelum ini dan tiada kaitan dengan orang lain pun.

"Mereka yang mengikuti penulisan saya akan tahu saya sentiasa menyampaikan cerita-cerita bermotivasi, semangat kenegaraan (patriotism), humor dan juga suka-duka perjalanan karier saya," tulisnya.

Tambah beliau lagi, dia turut meletakkan tanda pagar (hashtag), #sembangpengalaman sebagai menunjukkan maksud hantaran itu.

Katanya lagi, dia juga tidak ada menyebut nama mana-mana pihak, malah tiada siapa yang cuba menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan.

Sementara itu, Azizulhasni turut berkongsi bahawa beliau juga pernah mewakili pasukan profesional untuk sesetengah perlumbaan.

Antara perlumbaan yang disertai beliau adalah Bike Technologies Australia (2009-2010), Sime Darby Pro-Track Team (2011-2016), Cimb Pro-Cycling Team (2017-2018) dan Team Azizul (2019-kini).

Menurut beliau lagi, dalam karier dunia sukan, bagus untuk seseorang atlet bergerak secara profesional tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab kepada pasukan kebangsaan.

Beliau juga menyatakan bahawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia perlu duduk semeja dan mencari jalan tengah terhadap permasalahan yang berlaku.

"Hukuman dari BAM pula bagi saya tidak relevan dan kedua-dua pihak seharusnya duduk semeja berbincang seperti ayah dan anak untuk mencari titik tengah dalam isu ini.

"Kepada mereka di luar sana, saya harap anda tidak mengambil perkongsian saya itu di luar konteks," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

azizulhasni, sindir, status, pengalaman, Zii Jia